Sudirman Mohd Tahir


BEKAS peserta Akademi Fantasia 2015 (AF2015) Faroq kembali menjadi busker atau penyanyi jalanan di sekitar Bandaraya Melaka selepas gagal menempatkan diri sebagai penyanyi seperti rakan seangkatan Syamel dan Sufi.

Faroq, 26, atau nama sebenarnya Muhammad Amyrul Farouk Mohd Noor berkata dia tidak pernah menyesal dengan pilihannya itu kerana menganggap ia rezeki Allah SWT.

"Tipu kalau kata tak kecewa sebab tak dapat jadi penyanyi macam rakan seangkatan lain. Namun, saya 'move on' dan meneruskan hidup dengan menjadi busker. Lagi pula, sebelum masuk AF2015 inilah pekerjaan saya.

"Diakui ramai juga yang memandang sinis, tetapi saya tak layan sebab ada tujuan dan matlamat hidup. Dalam masa sama, buat apa saya nak malu dengan pekerjaan ini. Saya mencari duit dengan menghiburkan pelancong.

"Apatah lagi menyanyi adalah minat saya. Jadi, tidak salah jika teruskan pekerjaan ini meski tidak berada dalam industri hiburan tempatan. Saya anggap ini adalah rezeki. Mungkin pada masa akan datang baru tiba giliran saya pula," katanya kepada Harian Metro.

Faroq yang berasal dari Kampung Morten, Melaka berkata dia mampu memperoleh pendapatan RM350 sehari.

Menurut Faroq, dia juga bekerja sebagai penyanyi kelab malam bagi menambah pendapatan.

"Saya mula menyanyi jam 9 pagi hingga 3 petang di sekitar Jam Besar bersama seorang rakan iaitu Salam. Selepas itu, saya berehat dan bekerja semula pada jam 10 malam di kelab malam.

"Pendapatan sebagai busker tak menentu. Bergantung kepada jumlah pelancong yang datang dan memberi sumbangan. Kalau ada rezeki lebih, dapat banyaklah.

"Namun, bagi saya duit bukanlah perkara utama. Sebabnya saya memang menyanyi seikhlas hati untuk menghiburkan orang. Satu kegembiraan buat saya sekiranya mereka terhibur," katanya.

Farok berkongsi, dia turut menerima undangan menyanyi di mana-mana acara yang memerlukan penghibur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 3:31 PM