ONE Avenue Band. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
ONE Avenue Band. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ardini Sophia Sina

Meski sudah bergelar penyanyi, kumpulan One Avenue Band (OAB) tetap meneruskan pekerjaan mereka sebagai pemuzik jalanan (busker) dan kekal menetap di Johor Bahru.

Dianggotai Reyhan selaku vokalis, Shana (vokalis dan perkusi), Afiq (pemain bass), Ariff (gitar) dan Mahathir VAI (pemain keyboard), mereka sepakat untuk terus menghiburkan pengunjung serta peminat di Pasar Karat JB.

Berjaya membina nama menerusi lagu Kisah Antara Kita, OAB mengakui pengalaman lebih lima tahun sebagai pemuzik jalanan membantu mereka menjadi sebuah kumpulan serba boleh dan mampu membawakan pelbagai genre lagu.

“Lebih lima tahun kami menghiburkan pengunjung di Pasar Karat JB. Sepanjang tempoh itu, kami cari makan sebagai ‘busker’. Mungkin orang cakap sudah jadi penyanyi mesti lebih ‘masyuk’ dan tidak perlu lagi ‘busking’.

“Bagaimanapun, kami bermain muzik bukan semata-mata kerana ia menjadi sumber pendapatan tetapi muzik adalah jiwa kami. Apabila bermain muzik, kami puas dan gembira terutama apabila melihat pengunjung terhibur.

“Sebagai ‘busker’, kami perlu mahir bermain pelbagai genre lagu tidak kira balada, rock mahupun pop. Pengalaman ‘busking’ sedikit sebanyak membantu perjalanan seni yang sedang kami bina ketika ini,” kata Reyhan.

Sibuk dengan komitmen persembahan, tidak dinafikan ada cakap-cakap belakang mengatakan mereka seolah-olah menutup rezeki pemuzik jalanan lain yang mencari makan di Pasar Karat berkenaan.

Bagaimanapun, Reyhan berkata persembahan mereka kini mengikut jadual ditetapkan dan bukan sewenang-wenangnya bermain muzik. Malahan, ada ketikanya mereka tidak membuat persembahan dan kekosongan itu diberikan kepada kumpulan lain.

“Muzik adalah ‘universal’. Siapa saja boleh bermain muzik dan menghiburkan penonton dengan cara mereka tersendiri. Rezeki semua daripada Allah. Saya rasa kami tidak tutup rezeki sesiapa pun kerana persembahan setiap ‘busker’ berdasarkan jadual.

“Lainlah kalau sepanjang tahun hanya kami mengadakan persembahan di sana. Kalau begitu situasinya, mungkin logiklah ada yang berkata sedemikian. Tetapi, sekarang ini ada kalanya kami tidak dapat mengadakan persembahan walaupun hari berkenaan dijadualkan giliran OAB.

“Selalunya, kami akan minta mana-mana ‘busker’ untuk gantikan kami dan ikut jadual seperti biasa tanpa ada hari ganti. Semuanya berjalan atas persetujuan daripada ‘busker’ lain juga,” kata Reyhan.

Mengenai keputusan terus berada di Johor Bahru, mereka masing-masing punya keluarga yang perlu diutamakan sebelum membuat keputusan berhijrah dan menetap di Kuala Lumpur.

Tambahan pula, kata Reyhan, mereka turut mendapat tawaran untuk memeriahkan acara di Singapura. Malahan, lagu mereka turut diketahui penduduk beberapa daerah di Indonesia yang berdekatan Johor Bahru.

“Ada beberapa stesen radio frekuensi di Johor Bahru dapat didengar di daerah Indonesia berdekatan Johor Bahru. Oleh itu OAB turut dikenali di sana.

“Malah, ada individu dari Singapura menjemput kami mengadakan persembahan di sana. Bagaimanapun, semua itu masih di peringkat perbincangan. Biarlah kami kekal di Johor Bahru. Kerjaya kami tetap seperti biasa dan pada masa sama dapat bersama keluarga.

“Walaupun penat berulang-alik dari Johor ke negara lain bagi memenuhi undangan, kami tidak kisah. Selagi ada kudrat, kami akan penuhi dan berikan yang terbaik bagi menghiburkan peminat,” kata Reyhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:05 AM