Sibad tiada masalah dengan Syahrini. FOTO HM Digital
Sibad tiada masalah dengan Syahrini. FOTO HM Digital
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI lagu Lagi Syantik, Siti Badriah, 27, mengakui sehingga kini belum pernah bertegur sapa dengan penyanyi, Syahrini, sejak timbul isu berkaitan penggunaan perkataan 'syantik' pada Julai lalu.

Syahrini sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa perkataan 'syantik' itu adalah perkataan yang menjadi 'trademark' dirinya dan tidak boleh digunakan oleh artis lain tanpa izin.

"Saya pernah muncul di beberapa acara yang membabitkan saya dan Syahrini. Namun, kami tidak bertegur sapa, mungkin kerana masing-masing tidak nampak satu sama lain pada ketika itu," katanya kepada Harian Metro.

Siti Badriah atau lebih mesra disapa sebagai Sibad juga mengakui, dia tidak ada sebarang masalah peribadi dengan penyanyi lagu Gubrak Gubrak Jeng Jeng Jeng itu.

"Secara peribadi, saya tak ada sebarang masalah dengan Syahrini. Saya bahkan sudah beberapa kali membuat permohonan maaf di beberapa program TV.

"Namun, seperti yang pernah saya katakan, saya hanyalah penyanyi yang menyanyikan lagu. Untuk tahu lebih lanjut, itu perlu ditanyakan kepada komposer lagu itu, Yogi RPH," katanya.

Di YouTube, Lagi Syantik yang dimuat naik sejak Mac lalu sudah mencecah jumlah tontonan hampir 400 juta.

Terbaru, Siti Badriah hadir dengan single baru, Harus Rindu Siapa dan kini berada di Malaysia bagi mempromosikan lagu Lagi Syantik untuk pasaran Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 4:24 PM