Fatin Syahirah tetap bersemangat kental. FOTO MAHZIR MAT ISA.
Fatin Syahirah tetap bersemangat kental. FOTO MAHZIR MAT ISA.
Norhayati Nordin


SELEBRITI sukan remaja, Fatin Syahirah Roszizi, 16 akui dia kini makin positif, tenang dan bersikap terbuka apabila berdepan dengan sebarang kritikan terutama kecaman daripada netizen.

Fatin sebelum ini pernah menerima kecaman hebat netizen selepas dia gagal mempamer prestasi cemerlang pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada September lalu.

Menjadi atlet wanita papan selaju tunggal yang mewakili negara buat kali pertama di temasya sukan Asia itu, video aksi kurang memberangsangkan Fatin tular di internet dan laman sosial.

Fatin ditemui berkata dia mulanya memang sangat kecewa dengan kritikan negatif dan kecaman mengguris hati dilemparkan netizen berkaitan aksinya selepas video itu tular.

"Namun, semangat daripada keluarga dan sokongan rakan termasuk jurulatih membuatkan saya perlu kuat untuk bangkit menghadapinya dengan positif.

"Paling saya tak sangka, pemain papan selaju profesional terkenal, Tony Hawk ada memberi komen positif berbaur kata semangat di Instagram (IG) saya supaya terus berani memperjuangkan minat dalam sukan ini.

"Saya tahu bukan mudah untuk berjaya dan kegagalan di sukan Asia itu diakui sedikit sebanyak memberi tamparan besar buat saya yang masih kurang pengalaman.

"Pembabitan saya dalam sukan papan selaju pun baru dua tahun dan tidak pernah juga terfikir akan dapat peluang lebih awal beraksi di acara berprestij seperti sukan Asia," katanya.

Menurut Fatin lagi, dia kini giat membuat latihan untuk persediaan terperinci menghadapi pertandingan papan selaju yang lain pada masa akan datang.

Terdahulu, Fatin hadir sebagai tetamu pada majlis pelancaran rasmi aplikasi permainan Nightstream yang dihasilkan Media Prima Labs dengan kerjasama Streamline Games di ibu negara, semalam.

Hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali dan Pengasas Bersama Streamline Media Group, Alexander Fernandez.

Ditanya juga minatnya untuk menceburi industri hiburan, Fatin berkata dia akan mempertimbangkan sekiranya mendapat peluang.

"Saya okay saja, kalau ada pihak daripada industri hiburan berminat mahu ketengahkan bakat sebagai pengacara program TV. Saya sedia mencuba.

"Saya sukakan cabaran dan ingin mencuba perkara baru. Cuma, semuanya bergantung peluang dan kelapangan masa.

"Ini kerana saya masih belajar di tingkatan empat dan tahun depan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula. Jadi, saya kena bijak bahagi masa antara pelajaran dan minat," katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik perempuan ini berkata apa pun keutamaannya tetap pada fokus sukan papan selaju yang sangat diminati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 4:22 PM