SHERYL dan Harry.  FOTO/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
SHERYL dan Harry. FOTO/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Rudy Imran Shamsudin


BIASANYA sesebuah lagu itu diminati kerana ia didendangkan penyanyi popular dan punya ramai pengikut atau komposisinya menepati minat mahupun selera semasa.

Jarang sekali sesebuah lagu itu popular dan diminati kerana klip videonya. Bagaimanapun, bagi pendatang baru Sheryl Shazwanie Shamsulbahri, dia bertuah kerana single terbaru dihasilkan iaitu Perasaan menjadi kegilaan kerana paparan klip video yang dimuat naik di laman YouTube.

Mula dimuat naik pada 16 Julai lalu, dalam tempoh empat bulan klip video Perasaan sudah ditonton hampir 5 juta kali. Malah sewaktu dimuat naik, ia turut menjadi sohor kini (trending).

Elemen paling menarik dalam klip video itu adalah jalan cerita berbeza dengan lirik lagu dan ramai yang menonton tidak menyangka dengan kesudahan drama ditampilkan.

Selain jalan cerita, turut menjadi tarikan adalah lakonan Sheryl dan anggota kumpulan Treehill yang kini popular dengan lagu Terbang, Harry Paren Ngau.

Ketika ditemui dalam sesi fotografi khas, Sheryl yang sebelum ini dikenali menerusi lagu Hati Hati Dengan Cinta dan Teratai Cinta berkata, dia tidak menyangka peminat menggemari klip video single terbarunya itu.

“Saya baca setiap komen dan ternyata ramai sukakan jalan cerita ditampilkan. Ramai tidak menjangka jalan cerita Perasaan dan ia sangat menyentuh jiwa.

“Tidak kurang juga yang kata mereka menangis menonton jalan cerita klip video Perasaan. Ia ternyata berbeza dengan liriknya. Malah tidak kurang juga ada yang berkongsi pengalaman mereka mengenai cinta yang pernah dipendam.

“Perasaan cinta yang tidak kesampaian. Ada yang memendam perasaan dan apabila diluahkan ia disambut gembira. Paling menarik ada yang berkahwin apabila mereka membuat keputusan untuk meluahkan perasaan kepada insan yang mereka suka,” katanya.

Menonton klip video terbabit, ramai yang memberikan pandangan bahawa Sheryl dan Harry memang berbakat sebagai pelakon dan timbul tanda tanya mungkin kedua-duanya ada pengalaman sebelum ini.

Kata Sheryl, dia tidak pernah ada pengalaman berlakon. Bagaimanapun, pengalamannya berlakon dalam klip video sendiri sebelum ini memudahkannya memahami selok-belok pembikinannya.

Melihat dia menangis dalam klip video itu membuatkan ramai beranggapan ia pasti babak paling sukar untuk dijayakannya.

“Sebenarnya adegan menangis itu tidaklah susah sangat jika dibandingkan dengan babak sandwic terjatuh. Hendak buat-buat sandwic tu terjatuh nampak bersahaja memang mencabar. Beberapa kali jugalah saya terpaksa melakukan adegan terbabit,” katanya.

Mengulas keserasian yang wujud di antaranya dan Harry, kata Sheryl perkara itu tidak susah kerana pengarah memberikan arahan lebih awal agar mereka memahaminya.

“Lagipun saya memang tahu Harry berbakat dalam dunia lakonan sebab sebelum ini pun saya kenal Harry menerusi video pendek yang dihasilkan dan dimuat naik di laman sosial Vines. Malah pengikut laman sosial terbabit termasuk rakan-rakan saya mengenali Harry di situ,” katanya.

Sementara itu, Harry pula berkata, sebaik dia dipelawa oleh syarikat rakamannya, Rusa untuk membintangi klip video Sheryl, dia terus bersetuju.

“Ini kerana saya memang meminati bidang lakonan sejak dulu. Selain bermain muzik, saya juga suka berlakon dan kalau ada peluang atau tawaran berlakon drama atau filem, saya tidak keberatan menerimanya,” katanya.

Kata Harry lagi, keyakinannya untuk mencuba bidang lakonan semakin tebal selepas membaca komen positif yang diberikan penonton klip video Perasaan.

Kata Harry lagi, kegemarannya berlakon dalam video pendek yang dihasilkannya sendiri sebelum ini dan dimuat naik dalam laman sosial Vines sedikit sebanyak membantunya apabila beraksi di hadapan kamera.

“Sebenarnya saya tidak sangka dan terkejut juga apabila menerima maklum balas positif. Sedangkan apa yang saya lakonkan dalam klip video itu hanyalah biasa-biasa saja. Ia di luar jangkaan,” katanya.

Menyentuh mengenai komen diberikan kebanyakan penonton klip video terbabit yang menegur Harry memegang buku terbalik dalam salah satu babak di panggung wayang, anak jati Miri, Sarawak itu menegaskan dakwaan itu sebenarnya salah.

“Secara logik tak mungkin saya akan baca buku dalam panggung wayang yang gelap. Sebenarnya waktu itu saya sedang memegang kotak bertih jagung yang sedang terbuka.

“Apabila kamera fokus kepada penutup kotak yang terbuka itu, ia nampak seperti saya sedang pegang buku secara terbalik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 7:02 AM