ZOEY Rahman.
ZOEY Rahman.
Norhayati Nordin


WALAUPUN tawaran berlakon dan mengacara masih diterima, Zoey Rahman enggan melepaskan peluang menerokai bidang perniagaan.

Tempoh 12 tahun berkecimpung dalam bidang seni diguna sebaik mungkin oleh Zoey, 34, untuk membina empayar perniagaan sendiri.

Menurut pelakon drama Mat Rukun berwajah ‘jambu’ ini, pembabitan secara serius dalam perniagaan adalah untuk jaminan masa depannya.

“Sampai bila saya perlu bergantung pada tawaran berlakon dan mengacara? Jadi, wajar saya menceburi kerjaya lain. Apatah lagi, minat mendalam terhadap perniagaan mendorong saya berusaha memperkenalkan produk sendiri kepada masyarakat. Setakat ini, saya bersyukur dengan segala diperoleh sama ada dalam karier seni mahupun perniagaan,” katanya.

Zoey atau nama sebenar Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman berkata, dengan nama dibina sebagai pelakon dan pengacara juga banyak membantu.

Berbicara mengenai perkembangan kerjaya lakonannya, Zoey berkata, dia baru saja habis penggambaran drama Suamiku Mr Blind untuk Hypp TV.

“Selain itu, jika tiada aral saya akan terbabit dengan penggambaran drama berjudul Puteri Yang Ditukarkan tidak lama lagi. Saya gembira karier lakonan masih berjalan seperti biasa. Saya pun tetap sayangkan bidang ini,” katanya.

Mengulas mengenai kontroversi dicetuskan menerusi produk seluar dalam dipasarkan baru-baru ini, Zoey memohon maaf kepada mereka yang terasa hati.

“Saya tiada niat langsung mencetuskan kisah sensasi dengan sengaja semata-mata untuk menarik perhatian ramai.

“Memang saya menjual produk berkenaan sebagai keluaran terbaharu. Malah, sambutan diterima juga agak baik. Cuma, saya sedar setiap orang ada pandangan masing-masing. Saya perlu menghormati pendapat mereka juga,” katanya.

Menurut Zoey, dia juga menolak tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dia tidak sensitif terhadap masyarakat.

“Saya sekadar menjual produk itu dan siapa yang berminat, belilah. Tidak apa paksaan dibuat kepada pembeli. Sebagaimana diketahui, selain berlakon dan mengacara saya juga aktif berniaga. Perniagaan juga sumber rezeki saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 5:30 AM