AZMAN dan Habib selesa bergelar busker.
AZMAN dan Habib selesa bergelar busker.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Daripada artis rakaman gah dan diminati ramai bersama kumpulan Flop Poppy, kini bergelar busker.

Tiada apa yang dimalukan oleh Azman Ismail atau Man Kanan yang pernah berada di posisi pemain dram kumpulan popular itu.

Dia hanya terbabit bersama Flop Poppy menerusi satu album iaitu Say La V pada 2004 dan kemudian mengundur diri kerana mahu mencari pengalaman baru dalam kariernya.

Man, 43, kini selesa sebagai busker bersama pasangannya, Habibunisah Mohd Azir, 37, (Habib) dalam kumpulan D’ Phoenix.

Mereka bergandingan sejak setahun lalu dan sering membuat persembahan di sekitar Jalan Bukit Bintang, pusat beli-belah Sogo, Ipoh, Melaka dan Pulau Pinang.

“Saya fokus bermain di kelab dan selepas itu mendapat idea untuk ‘busking’ di ibu kota sejak enam tahun lalu.

“Mula-mula saya bawa set dram dan buat persembahan di Bukit Bintang, tapi dilarang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana bunyinya kuat. Akhirnya saya beralih bermain gitar dan perkusi manakala Habib pula menyanyi.

“Kami kini bernaung di bawah Malaysian Youth Buskers Club (MYBC) dan mempunyai permit dikeluarkan oleh DBKL yang membolehkan kami membuat persembahan di lokasi yang dibenarkan.

“Busking memberi kepuasan tersendiri dan kami pun tak terikat dengan orang lain. Paling penting, misi kami mahu membuktikan kepada pelancong luar yang busker Malaysia juga hebat,” katanya yang pernah dibawa MYBC membuat persembahan di World Art Games di Croatia tahun lalu.

Man mengakui, segelintir masyarakat memandang serong golongan busker seolah-olah mereka meminta sedekah sedangkan mereka sebenarnya menjual bakat.

“Ada yang masih tidak menghargai bakat kami. Tak dinafikan pandangan buruk terhadap kami masih ada disebabkan beberapa kes yang tak diingini.

“Sebenarnya busker yang buat persembahan di luar restoran eksklusif perlu meminimumkan bunyi agar tak mengganggu pelanggan makan serta berbual pelbagai perkara.

“Ini perlu dijaga. Berkenaan kutipan wang meja ke meja pula, ia dibuat kerana kami faham cara orang kita yang malas untuk bangun menghulurkan wang dan lebih suka kami datang ke tempat mereka.

“Profesion ini memerlukan kami kerja keras ‘busking’ untuk lima sesi iaitu pagi, tengah hari, petang, malam dan tengah malam di lokasi berlainan. Setiap sesi memakan masa sekurang-kurangnya dua jam.

“Nak dikatakan mewah tu tidaklah, tapi pendapatan kami cukup untuk menampung hidup. Apapun yang penting ialah kami lebih mementingkan kepuasan dalam seni,” katanya.

Man yang pernah mengendalikan bengkel dram sebelum ini berhasrat menerbitkan album kumpulan D’ Phoenix yang dijangka dipasarkan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:01 AM