JAMILAH perdengarkan kelunakan suaranya ketika pelancaran album Bayun Tari Panglima.
JAMILAH perdengarkan kelunakan suaranya ketika pelancaran album Bayun Tari Panglima.
SITI Hasmah memberikan sokongan kepada usaha Jamilah memartabatkan lagu keroncong.
SITI Hasmah memberikan sokongan kepada usaha Jamilah memartabatkan lagu keroncong.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Mendengar kelunakan suaranya ketika menyanyikan lagu keroncong pada pelancaran album Bayun Tari Panglima di Istana Budaya baru-baru ini, tidak keterlaluan diakui Jamilah Abu Bakar layak digelar Puteri Ke­roncong atau waris keroncong.

Patah sebutan yang jelas serta lenggok nyanyian tersusun sememangnya meletakkan gadis berusia 19 tahun ini berada pada kelas tersendiri.

Tidak hairanlah peminatnya bukan calang-calang orang termasuk isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang begitu mengagumi Jamilah sejak 10 tahun lalu.

Kecintaan Jamilah kepada irama keroncong bermula sejak usia­nya 10 tahun. Dia menunjukkan minat mendalam terhadap seni tradisi Melayu ini hinggakan berguru bersama Wawang Wijaya, seorang tokoh dan pakar keroncong dari Indonesia selama lima tahun sebelum Wawang meninggal dunia pada 26 Jun 2009.

“Saya juga ikuti perkembangan dan lagu-lagu muzik terkini tapi cinta saya kepada irama keroncong cukup mendalam. Saya tak lupa kepada pokok pangkal tradisi kita.

“Saya pernah menyertai pertandingan nyanyian di RTM tapi bukan program berbentuk realiti kerana tak nak pelajaran terabai. Sebagai pelajar saya tak boleh tinggalkan kelas dalam tempoh lama,” katanya yang menuntut dalam jurusan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Jamilah yang turut berkebolehan menyanyikan lagu dalam bahasa Hindi, Mandarin dan Jepun mengakui tidak kisah dirinya tidak dikenali ramai kerana dia mempunyai pengikut sendiri.

“Bapa saya rajin memuatkan nyanyian saya di Youtube dan alhamdulillah setakat ini mendapat tontonan lebih lima juta orang. Peminat saya bukan saja dari negara kita bahkan ada daripada luar negara.

“Walaupun tak masuk program nyanyian realiti, saya bersyukur tetap berjaya mencipta nama,” katanya yang mencatat pencapaian 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan berhasrat menimba ilmu setinggi mungkin.

Album Bayun Tari Panglima terbitan Warisan Records memuatkan nyanyian semula Jamilah dalam rangkaian lagu malar segar dengan gaya baharu. Selain lagu malar segar, empat lagu baharu turut dimuatkan.

Jamilah sebelum ini menghasilkan sebuah lagi album berjudul Keroncong Eksklusif Jamilah Abu Bakar karya Emas Mahzan Manan.

Sementara itu, Tun Dr Siti Hasmah yang hadir melancarkan album Bayun Panglima, memuji Jamilah kerana pandai membahagikan masa antara pelajaran dan nyanyian.

“Jamilah memiliki se­suatu yang tidak berlaku pada orang lain. Seorang lagi artis yang saya rasa mempunyai persamaan dengan Jamilah ialah pemain piano, Tengku Irfan.

“Harapnya ramai anak-anak kita meneruskan kerjaya dalam bidang muzik tetapi pada masa tidak meng­abaikan pelajaran mereka seperti Jamilah. Malah bukan itu saja, Jamilah juga berjaya mengekalkan prestasi cemerlang di ASWARA.

“Saya sangat berbangga dengan ibu bapanya yang mendedahkan Jamilah kepada muzik. Tidak ramai ibu bapa mempunyai kesedaran seperti ibu bapa Jamilah dan mereka juga berjaya membimbing Jamilah menjadi penyanyi dan pelajar yang baik,” katanya.

Siti Hasmah yang diperkenalkan kepada Jamilah oleh sahabatnya, Allahyarham Wawang Wijaya, me­ngakui cukup tertawan de­ngan vokal gadis ini.

Justeru ketika Wawang meninggal dunia enam tahun lalu, Siti Hasmah bimbang kerjaya Jamilah terbantut.

“Kerana sayangkan karya muzik milik Wawang, saya meminta ehsan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ketika itu iaitu Datuk Seri Dr Rais Yatim agar dapat memelihara peninggalan muzik Wawang.

“Ketika Pak Wawang meninggal dunia, saya risaukan karya seninya. Saya bimbang sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab merosakkan lirik asal muzik keroncong.

“Alhamdulillah, kita dapat lihat Jamilah berada di tempat yang betul dan menjadi penyanyi keroncong yang cemerlang. Saya memang minat keroncong, saya hidup dalam era yang lain, memang susah nak nya­nyikan lagu keroncong sebab kena belajar ryhtm dan ‘timing’.

“Cuma saya berharap supaya lagu asli seperti keroncong dan lain-lain tidak dicampur adukkan dengan lagu pop. Bagi saya lagu asli lebih cantik berdiri dengan sendiri dan tidak perlu untuk dimodenkan,” katanya yang berharap lebih ramai lagi anak muda tampil memartabatkan lagu tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 9:57 AM