Oja kini bahagia. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Oja kini bahagia. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Norhayati Nordin


PENYANYI era 1990-an yang kini vokalis Tunable Band, Oja, 39, mengakui dia masih berhubung baik dengan keluarga pelakon Diana Rafar, 35.

Pemilik nama sebenar, Daninas Huza Daud ini pernah dikaitkan menjadi 'orang ketiga' yang menyebabkan rumah tangga Diana dan pelakon Zamarul Hisham, 47, berantakan sekitar 2015 lalu.

Oja ketika ditemui pada satu majlis hiburan di ibu kota berkata perkara sudah lama berlalu dan tidak perlulah dikenang.

"Apapun, hubungan saya dengan keluarga Diana memang tiada masalah. Alhamdulillah, hingga kini kami masih baik seperti dahulu

"Ditambah pula, saya sudah lama berkenal baik dengan mereka sejak dari kecil lagi. Mereka umpama keluarga saya sendiri.

"Lagi pun, saya juga tidak berdendam apa-apa pun. Bagi saya, perkara yang pernah berlaku dulu adalah suratan takdir. Malah, ia sudah berlalu," katanya.

Menurut Oja, dia kini bahagia dengan hidupnya dan sudah pun mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya pada 2016 lalu.

"Sekarang, apa menjadi keutamaan saya adalah isteri dan keluarga sendiri. Termasuk, merancakkan lagi karier nyanyian saya.

"Apa diharapkan semoga karier nyanyian bersama Tunable Band mendapat sokongan dan single nyanyian kami mesra di radio.

"Penting untuk saya merancang perjalanan semula karier nyanyian dengan betul kerana faktor usia dan minat mendalam pada bidang muzik yang tidak pernah pudar," katanya.

Oja berkata dia sebenarnya merancang muncul dengan album bersama Tunable Band yang turut dianggotai Nourul Fikri Abdul Samad, 38, (gitar), Botak atau Kamaruzaman Younus, 35, (bass) serta dua bekas anggota kumpulan Spoon iaitu Boy atau Saifulnizam Mohamed Jelani, 38, (gitaris) dan Mohd Shahnaz Shaharudin, 38, (dram).

Selama dua dekad berjuang dalam muzik, Oja yang pernah popular dengan lagu Dasira merakamkan album terakhirnya berjudul Kerangka pada 1996 ketika berusia 14 tahun.

Selain itu, Oja juga adalah anak saudara penyanyi Mastura Ali yang berduet dengan Ally Noor dan popular dengan lagu loghat Negeri Sembilan seperti Apo Kono Eh Jang, Alahai Anak Omak dan Apo Nak Buek Jang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:05 PM