ANGGOTA Rabbani dan Che Amran (dua dari kiri) pada sidang media pelancaran Umrah Ziarah 4 Masjid.
ANGGOTA Rabbani dan Che Amran (dua dari kiri) pada sidang media pelancaran Umrah Ziarah 4 Masjid.
Ridzuan Abdul Rahman


Jarang sekali peminat dapat menyaksikan kumpulan nasyid Raihan dan Rabbani berkongsi pentas yang sama.

Namun, gandingan ini dapat dilihat dalam siri jelajah Karnival Ummah Bestari yang berlangsung pada bulan ini.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, program ini berlangsung di empat bahagian iaitu utara tanah air, selatan, pantai timur dan akan berakhir di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Karnival ini sebenarnya diadakan bagi menyokong program Ziarah Empat Masjid (UZ4M) yang diadakan pada 11 hingga 23 Mac tahun depan.

“UZ4M yang turut menampilkan pasangan penceramah terkenal, Ustaz Wan Akasyah dan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah dianjurkan Pusat Tahfiz Darul Ulama dengan kerjasama Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), Rabbani Productions Sdn Bhd dan Intra Tama Travel Consultancy Sdn Bhd.

“Selain Raihan dan Rabbani, konsert sempena Karnival Ummah Bestari turut menampilkan beberapa artis nasyid popular lain sebagai tarikan buat penonton,” katanya.

Menurut Azadan, selain bergabung buat kali pertama dengan Rabbani, program ini juga menjadi kerjasama pertama mereka dengan DPUM.

“Untuk itu, kami amat mengharapkan program ini dapat sambutan yang baik daripada masyarakat. Kami sasarkan 200 peminat menyertai program ini.

“Raihan dipilih kerana masih mempunyai pengikut yang kuat dalam industri muzik. Kami percaya peminat pasti nak bertemu mereka secara langsung di depan mata, selain mengutip ilmu yang dicurahkan sepanjang program ini,” katanya.

Anggota Raihan, Che Amran Idris mengakui, Raihan dan Rabbani saling melengkapi dan bersaing secara sihat dalam industri seni tempatan.

“Kami mempunyai kelompok peminat yang berbeza tapi bergerak atas landasan muzik yang sama. Raihan agak cemburukan kejayaan Rabbani yang berjaya dalam perniagaan, tapi cemburu ini berbentuk positif.

“Kami menjadi medium untuk menyatukan semua peminat. Diharapkan mereka dapat hadir beramai-ramai ke Karnival Ummah Bestari kerana persembahan kami diadakan secara percuma,” katanya.

Menerusi penganjuran UZ4M, Raihan dan Rabbani turut bertemu pelajar di masjid Universiti Al Azhar, Mesir dan mengadakan konsert mini buat mereka.

“Kami juga dijadualkan mengadakan persembahan di atas kapal sepanjang Sungai Nil, Mesir. Aspek keselamatan amat dipentingkan dan kami sentiasa mendapatkan khidmat nasihat pejabat Kedutaan Malaysia di sana.

“Tak lupa selain persembahan, kami amat menitikberatkan program umrah dan aktiviti beribadah di Makkah dan Madinah yang menjadi objektif utama penganjuran UZ4M.

“Kami minta peminat tak melepaskan peluang keemasan ini. Ia terbuka kepada semua termasuk peminat luar dan setakat ini kami sudah mempunyai 10 peminat dari Singapura dan 20 peminat dari Pattani, Thailand yang sudah mendaftar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 10:57 AM