TEIGEN  bersama suami.
TEIGEN bersama suami.
Susunan Michelle Gun

Pengalaman meroyan selepas bersalin anak sulung membuat isteri penyanyi John Legend, Chrissy Teigen bimbang masalah sama akan berulang dengan kehadiran cahaya mata kedua nanti.

Pasangan selebriti itu bakal menyambut kelahiran bayi lelaki Jun ini.

Model berusia 32 tahun itu berkongsi kebimbangannya dengan rakan, Jen Atkin di sebuah majlis, Sabtu lalu.

“Saya sangat bimbang dengan anak kecil lelaki ini. Kalau masalah itu datang lagi, saya sudah sedia menghadapinya,” katanya.

Teigen sememangnya bersikap terbuka dengan berkongsi masalah meroyan dihadapinya selepas melahirkan anak perempuan, Luna yang kini berusia 22 bulan.

“Ketika itu, saya baru melahirkan Luna. Kehidupan saya sudah sempurna dengan ada suami, keluarga dan keperluan lain.

“Secara peribadi, saya rasa tidak gembira, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana mengingati situasi itu biasa saja. Saya ada anak tetapi sedih,” katanya.

Personaliti televisyen berkenaan berkata, orang sekelilingnya sepatutnya peka terhadap perubahan anginnya.

“Kalaulah ada orang ketika itu tegur mengenai perubahan angin saya,” katanya.

Pertahan suami dikecam netizen

Dalam perkembangan lain, Teigen mempertahankan suaminya yang menjadi bahan kecaman netizen di media sosial, baru-baru ini.

Kecaman itu datang hanya kerana Legend, 39, berkongsi gambar mendukung Luna ketika bersiar-siar di Instagram.

Seorang netizen meluahkan rasa kurang puas hati melihat gambar itu dan menuduh pasangan berkenaan sering mendukung anak mereka.

“Terlalu penat melihat mereka mendukungnya. Dia sudah tidak memerlukan kaki,” tulis pengikut terbabit.

Teigen kemudian membalas individu terbabit dengan sarkastik dan komen model itu mendapat sokongan kuat netizen lain apabila meraih lebih 21,000 ‘like’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 4:50 AM