Oleh Michelle Gun

Biarpun tersingkir awal daripada Mentor Legend, bekas anak didik Ajai, Mal Imran bertuah kerana bakal memiliki album.

Kini bernaung di bawah syarikat rakaman CQ Music Sdn Bhd, Mal atau nama sebenarnya Mohamd Akmal Mohamed Imran, 23, muncul dengan single pertama Cinta Sukar Ditafsirkan ciptaan Ajai.

Malah, penyanyi kelahiran Sarawak itu diberi peluang untuk menyanyikan single berkenaan buat kali pertama di pentas Konsert Battle 3 Kumpulan A Mentor Legend, Ahad lalu.

Ketika ditemui, Mal mendedahkan dia gementar membuat persembahan itu di hadapan penonton.

"Ini kali pertama saya memperkenalkan lagu ini secara langsung kepada orang ramai dan semestinya berasa gementar walaupun tidak bertanding. Saya berharap lagu ini diterima baik oleh peminat," katanya.

Sementara itu, penyanyi kelahiran Sarawak itu berkata, seandainya diberi peluang dia ingin kembali beraksi di pentas Mentor.

"Bagaimanapun, saya menganggap semua ini ketentuan Tuhan dan bersyukur diberikan rezeki untuk membina karier dalam bidang nyanyian," katanya.

Selain laman sosial, single Cinta Sukar Ditafsirkan boleh dibeli menerusi iTunes Store dan beberapa medium lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:07 AM