ZAYRUL, Rosli dan Liza bersama barisan pelakon Jalan Ini.
ZAYRUL, Rosli dan Liza bersama barisan pelakon Jalan Ini.
Ridzuan Abdul Rahman


Segala-galanya bermula apabila sekumpulan individu menyertai kelas lakonan teater selama dua hari kendalian Dramatis Studio milik pelakon terkenal Rosli Rahman Adam yang bertindak selaku jurulatih lakon dan isterinya, Liza Tan sebagai pengurus produksi.

Seperti kebiasaan dilakukan Dramatis Studio, peserta dijanjikan untuk terbabit dalam drama pendek sebaik tamat pembelajaran.

Maka, terhasil drama pendek Jalan Ini arahan Zayrul Iqwan Rosli yang juga anak pasangan itu.

Penghasilan drama pendek itu dicetuskan ketua kumpulan pelajar berkenaan iaitu Khairul Rizal Khalid yang turut berlakon.

Pelakon lain ialah Asyraf Mustafa, Muhammad Hidayat, Ewan Riduan dan Putera Amsyar.

Drama ini turut diperkuatkan dengan penampilan istimewa artis baru Izzmad Harun dan penyanyi Rozita Rohaizad.

Pelancaran Jalan Ini berlangsung meriah di 137 Cafe & Bistro, Ampang Waterfront yang dihadiri beberapa rakan artis sebagai tanda sokongan.

Jalan Ini yang berdurasi 17 minit dimuat naik ke YouTube pada awal bulan ini.

Zayrul berkata, biarpun hanya drama pendek, Jalan Ini menampilkan barisan pelakon berbakat besar.

“Menjadi tradisi Dramatis Studio buat drama pendek untuk disiarkan di YouTube. Setakat ini, lebih 70 drama pendek dijayakan pelajar kami.

“Untuk projek kali ini, saya amat kagum dan berterima kasih kepada semua yang terbabit kerana membawa idea sampai ke tahap ini. Lakonan yang diperlihatkan juga mantap,” katanya.

Menurut Zayrul, Jalan Ini adalah drama pendek terbaik pernah dihasilkan mereka.

“Dramatis Studio sentiasa memberi pendedahan berguna kepada pelajar. Tahun lalu kami menyertai Festival Teater Kuala Lumpur yang dibarisi sepenuhnya oleh pelajar.

“Syukur kami mendapat tempat ketiga dalam pertandingan itu. Saya percaya pelajar kami boleh maju sekiranya diberi ruang dan peluang,” katanya.

Zayrul turut berharap Jalan Ini dapat menarik perhatian pelajar baru untuk menimba ilmu di Dramatis Studio.

Mengulas hala tuju pelajar sebaik menamatkan pembelajaran, Zayrul menyerahkan kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri.

“Ada yang jadi pelakon, tapi ada juga yang belajar kerana minat dan hobi. Dramatis Studio ada dua cabang iaitu teater dan drama TV.

“Dramatis Studio ada perancangan menyertai Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) anjuran TV3 tahun ini. Sekiranya berjaya, ia akan jadi penyertaan sulung kami,” katanya.

Jalan Ini mengisahkan Zali, bekas banduan yang mengharapkan masyarakat menerimanya kembali meski terpaksa berdepan tentangan hebat musuhnya, Arsyad, ibu dan abangnya.

Dengan bantuan Ustaz Harun, Zali mengorak langkah ke hadapan mencari sinar baru dalam hidupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 5:34 AM