Novel Cinta High Class tulisan Ustazah Fatimah Syarha sememangnya mempunyai kelompok peminat yang besar.
Justeru, bersempena dengan Ekspo Buku Islam Putrajaya 13, peminat akan dapat menyaksikan adaptasi daripada novel Islamik terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd ini dalam bentuk teater yang akan dipentaskan oleh Dramatis Kuala Lumpur dengan kerjasama Sinergi Ilmu Resources Sdn Bhd, esok.
Teater arahan Zayrul Iqwan Rosli dan skrip oleh Ustaz Syafiq Zulakifli ini akan dipentaskan di Auditorium Dewan Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3 dalam dua sesi iaitu pada jam 3 petang dan 8 malam esok.
Ia menampilkan Heliza Helmi sebagai pelakon utama.
Zayrul Iqwan berkata, inilah kali pertama Ekspo Buku Islam Putrajaya 13 mengadakan slot pementasan teater sebagai strategi menarik pengunjung.
“Ia adalah teater pendidikan. Kandungan ceritanya menerangkan berkenaan hukum fiqh praperkahwinan dan fiqh kekeluargaan. Banyak ilmu dapat dikongsikan dengan penonton.
“Sebagai pengarah, saya cuba hasilkan sebuah naskhah yang membina selain dapat menghiburkan penonton.
“Saya sudah lama menanti peluang untuk menghasilkan teater Islamik. Gabungan golongan agama dan karyawan memang perlu wujud. Moga Allah SWT memberkati usaha kami, Insya-Allah,” katanya.
Melihatkan pada genrenya, sudah pasti teater ini dapat menarik minat golongan aktivis teater, pembaca novel dan golongan agama untuk hadir menonton dan menilai sendiri perbezaannya apabila diadaptasi ke teater.
Ini juga pengalaman pertama Heliza berlakon teater dan sudah tentunya dia berdepan cabaran baru dalam kariernya yang sebelum ini diwarnai dengan nyanyian dan misi dakwah.
“Tak sangka saya ditawarkan berlakon teater dan ia sesuatu yang mengujakan. Menerusi latihan yang dibuat, saya dapat belajar banyak benda baru. Cabaran buat saya adalah membawakan watak Qaniah Syumaila yang sebenarnya gambaran peribadi Ustazah Fatimah Syarha sendiri.
“Beliau adalah seorang yang berlatarbelakangkan pengajian Islam sedangkan saya rasa saya amat jauh berbanding karakter dan peribadi sebenar ustazah sendiri,” katanya.
Selain Heliza, teater ini turut menampilkan aktivis teater berpengalaman Rosli Rahman Adam dan finalis Akademi Fantasia 2013 Nabila Razali sebagai penyanyi undangan.
Tidak terkecuali teater ini juga akan menampilkan bakat-bakat baru yang digilap dari kelas lakonan Dramatis Kuala Lumpur.
Maklumat lanjut mengenai tiket sila hubungi 013-7007067 atau layari laman web www.ekspobukuislam.com.