ANTARA babak menarik dalam Baran.
ANTARA babak menarik dalam Baran.

Sudah dua tahun kumpulan teater Dramatis Kuala Lumpur (Dramatis) tidak mengadakan pementasan.

Justeru, pementasan terbaru mereka menerusi teater Baran di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini berjaya menarik penonton terutama pengikut setia Dramatis.

Pementasan selama dua malam itu dijayakan barisan pelajar kelas lakonan di bawah kendalian pelakon dan aktivis teater terkenal, Rosli Rahman Adam.

Sambutan begitu menggalakkan terutama pada malam kedua kerana peminat seakan-akan tidak sabar untuk menantikan persembahan bermula.

Uniknya penonton tidak perlu membeli tiket, sebaliknya hanya menghulurkan sumbangan ikhlas mereka untuk menonton.

Baran pernah dipentas dan diarahkan Rosli beberapa tahun lalu, namun kali ini dia memberikan peluang kepada anaknya, Zayrul Iqwan, 21, untuk mengarah bagi membuktikan kemampuannya.

Zayrul Iqwan menganggap pementasan teater kelapan arahannya ini bukanlah yang terbaik, tetapi berpuas hati dengan pencapaian pelajar Dramatis ketika beraksi di atas pentas.

"Secara peribadi saya gembira dengan prestasi mereka. Apapun saya akui masih ada beberapa ruang yang masih perlu diperbaiki barisan pelakon.

"Teater ini boleh diangkat dan dianggap sebagai sebuah teater Islamik, tetapi saya lebih senang jika Baran dilabel sebagai teater dakwah berbanding teater Islamik," katanya yang sering menyelitkan unsur dakwah dalam karyanya.

Pengakhiran Baran diakhiri dengan bacaan ayat al-Quran oleh DJ Syafiq Zulakifli daripada Ikim.FM yang memberi penerangan mengenai manusia dan dugaan daripada Allah SWT.

Mementaskan teater genre realism bukanlah mudah kerana setiap aspek dalam pementasan perlu diteliti.

Perkara utama yang menjadi perhatian adalah set pementasan. Berbekalkan prinsip teater bajet rendah, Zayrul lebih menekankan kandungan dan mesej cerita berbanding aspek itu.

"Cantik atau gah sesebuah set itu jatuh nombor dua, yang penting adalah penggunaannya. Barisan pelakon Baran tahu bagaimana mahu memanfaatkan set yang dibina," katanya.

Bagi Rosli pula, dia kagum kerana persembahan ini rata-rata dijayakan muka baru dan mereka berjaya melakonkan watak dengan baik.

"Mereka masih dianggap amatur dalam dunia teater. Begitu pun, mereka berjaya mengangkat cerita karya Liza Tan ini bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai kehidupan Melayu tipikal," katanya.

Menurutnya, lakonan mereka juga dinilai pada malam pertama oleh seorang penilai profesional iaitu Nasri Ayob, seorang penggiat teater yang disegani ramai.

Rosli berkata, Dramatis akan terus memartabatkan teater di tanah air dan bukannya hanya di Kuala Lumpur saja.

"Objektif kami ialah untuk memperkembangkan lagi seni teater terhadap golongan remaja dan belia," katanya yang juga jurulatih lakonan dan penasihat pementasan serta berlakon sebagai penampilan khas dalam Baran.

SINOPSIS

Baran mengisahkan kehidupan tiga beradik iaitu Bazit, Suraya dan Sabariah yang kehilangan ibu bapa sejak kecil di sebuah kampung.

Bazit yang dulunya periang berubah menjadi seorang yang panas baran. Kehadiran Malim dan Muin mengubah kehidupan aman damai tiga beradik ini.

Bazit berasa kecewa apabila adiknya Sabariah dirogol Malim dan Suraya pula diganggu Muin yang sudah berkahwin dua.

Bazit akhirnya membuat keputusan tanpa berfikir panjang yang akhirnya memakan dirinya sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:03 AM