ROSLI dan Zayrul bersama barisan pelakon.
ROSLI dan Zayrul bersama barisan pelakon.
PELAKON ketika latihan.
PELAKON ketika latihan.
ROSLI selaku pelakon dan jurulatih lakonan.
ROSLI selaku pelakon dan jurulatih lakonan.
POSTER Isolasi.
POSTER Isolasi.
Ridzuan Abdul Rahman

Mendengar sahaja tajuknya Isolasi, mungkin ada yang beranggapan teater terbitan Dramatis Studio dengan kerjasama Persatuan Dramatis Kuala Lumpur (DKL) ini mempunyai kaitan dengan filem Desolasi arahan Syafiq Yusof.

Bagaimanapun, persamaan sebutan teater arahan Zayrul Iqwan Rosli ini berlaku secara kebetulan dan bukannya bermaksud menumpang populariti.

Isolasi dijayakan pelajar kelas lakonan anjuran Dramatis Studio yang dikelolakan pelakon Rosli Rahman Adam pada 10 hingga 12 Februari di Markas Kota Damansara, jam 8.30 malam.

Zayrul berkata, Isolasi adalah naskhah yang diinspirasikan daripada potongan ayat di dalam al-Quran, iaitu ayat 10 surah al-Hujurat yang menceritakan kepentingan persaudaraan sebagai seorang Muslim.

“Ini teater arahan saya yang ke-10. Walaupun bergenre dakwah dan mempunyai pengisian tersendiri saya turut menyelitkan elemen hiburan dan komedi buat penonton.

“Memandangkan skripnya idea saya sendiri, lebih mudah buat saya mengadaptasi mengikut kehendak sendiri dan menekankan aspek Islamik.

“Dalam konteks lakonan, saya tidak mengongkong pelakon sebaliknya mereka bebas melakukan apa sahaja selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak skrip,” katanya.

Biarpun menyajikan elemen Islamik, Zayrul menyifatkan teater ini sesuai untuk tontonan pelbagai lapisan masyarakat.

“Jangan keliru kerana Isolasi bukan menampilkan elemen Islamik yang mendalam, tetapi lebih kepada teater pengisian rohani.

“Saya percaya banyak perkara positif yang boleh dijadikan pengajaran oleh penonton,” katanya.

Rosli Rahman Adam yang bertindak sebagai penasihat pementasan dan jurulatih lakonan untuk Isolasi pula memberi jaminan bahawa pementasan teater ini memberi impak kepada masyarakat.

“Mesej penceritaannya sangat kuat iaitu mengenai hubungan sesama manusia atau hablumminnnas.

“Diakui pelakon terbabit tiada pendidikan formal dan terbabit aktif dalam bidang teater bertahun lamanya.

“Bagaimanapun, saya berani mengatakan mereka pelakon yang sangat berbakat kerana usaha dan semangat mereka.

“Sebagai guru, saya hanya memberi dorongan dan tunjuk ajar, selebihnya usaha mereka sendiri,” katanya.

Barisan pelakon yang menjayakan pementasan ini adalah Hairi Ghani, Faruq Nordin, Rafiey Izwan, Puteri Izan, Ariffin Yasin, Faiz Jalal, Awie Shahnizar, Asy Noriman, Erwansah Putra dan Aiman Chong.

Rosli Rahman juga akan tampil sebagai penampilan istimewa.

Isolasi mengisahkan pertembungan tiga pemuda yang tidak sebulu disebabkan kesalahan dilakukan ibu bapa masing-masing.

Suatu hari mereka bertiga terdampar di sebuah pulau yang terbiar kerana ingin mencari harta karun.

Dapatkah mereka bekerjasama? Adakah mereka mampu berbaik semula? Atau, adakah mati akan menjemput mereka terlebih dahulu?

Persoalan inilah yang bakal dirungkai dalam Isolasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:05 AM