(DARI kiri) Izzmad Harun, Rozita Rohaizad dan Asyraf Mustafa pada sesi wawancara Kaki Seni Radio JKT di Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan & Kerajaan Tempatan, Putrajaya.
(DARI kiri) Izzmad Harun, Rozita Rohaizad dan Asyraf Mustafa pada sesi wawancara Kaki Seni Radio JKT di Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan & Kerajaan Tempatan, Putrajaya.
Ridzuan Abdul Rahman


Mungkin ramai pendengar tidak menyedari kewujudan Radio JKT yang bersiaran dari Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan & Kerajaan Tempatan, Putrajaya sejak tahun lalu.

Radio yang dirancang di bawah Teras Ke-6 iaitu Komunikasi Berkesan dalam Pelan Transformasi PBT ini diwujudkan bagi menyampaikan dasar kerajaan secara terus-menerus kepada rakyat.

Ia yang boleh diakses di http://radiojkt.kpkt.gov.my bersiaran 24 jam sehari selama tujuh hari seminggu.

Radio JKT mempunyai sembilan penyampai terdiri daripada kakitangan KPKT iaitu Muss, Dilla, Nisya, Khai, Sumey, Zul, Azlinda, Achiq dan Nadya.

Achiq, 27, atau Asyraf Mustafa berkata, terdapat pelbagai segmen yang dikendalikan penyampai bertugas mengikut jam tertentu.

“Banyak segmen ditampilkan antaranya Top Stories of the day yang bersiaran pada Isnin hingga Jumaat, jam 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari, Kepochi KPKT (Isnin-Jumaat, 12 tengah hari - 12.30 tengah hari), Teh Tarik SeSSion (Isnin-Jumaat, 3 petang - 4.30 petang), Coffee Chat (Isnin-Jumaat, 8.30 pagi - 10.30 pagi) dan hello pbt (Isnin-Khamis, 10.30 pagi - 12 tengah hari).

“Selain itu, kami juga ada segmen automatif, laporan trafik dan wawancara khas yang bertujuan menyampaikan maklumat secara terus dan tepat terutamanya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Selepas jam 4.30 petang kami akan memutarkan lagu-lagu menarik untuk pendengar,” katanya.

Biarpun bersifat penyampai maklumat, Radio JKT tidak meminggirkan dunia hiburan apabila menampilkan Kaki Seni yang mengundang artis ke konti untuk bercerita pengalaman seni masing-masing.

“Sebelum ini, ia bersiaran pada setiap Rabu tapi mulai 2018, Kaki Seni ditukar kepada Isnin jam 2.30 petang hingga 3.30 petang yang dikendalikan oleh saya.

“Sebagai pembuka tirai, saya menjemput penyanyi Rozita Rohaizad dan Izzmad Harun untuk berkongsi pengalaman seni mereka terutamanya membintangi drama pendek berjudul Jalan Ini,” katanya.

Achiq yang pernah bekerja sebagai kakitangan suara latar di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) gembira dengan sambutan peminat terhadap segmen itu.

“Kita dapat mendengar pengalaman di belakang tabir mereka menjayakan drama ini. Biarpun ia hanya drama pendek, bukan mudah untuk menghasilkannya.

“Saya sendiri gembira kerana turut ditawarkan berlakon dengan membawakan watak utama dan ia satu bonus,” katanya yang pernah tampil sebagai pelakon tambahan dalam beberapa drama.

Sementara itu, Rozita dan Izzmad mengakui seronok berkongsi pengalaman membintangi drama arahan Zayrul Iqwan Rosli terbitan Dramatis Studio.

“Ia satu benda baru buat saya. Biarpun sudah lama jadi artis, saya masih dalam proses pembelajaran.

“Pelancaran akan dibuat pada 7 Februari ini di 137 Cafe & Bistro, Ampang Waterfront. Drama ini akan dimuat naik di YouTube pada bulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 12:49 PM