SUFIAN Suhaimi.
SUFIAN Suhaimi.
Syanty Octavia Amry

Jika sebelum ini penyanyi Sufian Suhaimi bercita-cita bergelar pensyarah, kini keinginan itu terpaksa dilupakan berikutan sibuk dengan karier nyanyian.

Bagi Sufian, 26, tiada istilah menyesal atau rugi meskipun dia sudah belajar sehingga ke tahap Sarjana Muda Komunikasi Massa dan bakal menggenggam ijazah itu tidak lama lagi.

“Bagi saya pelajaran penting dan ia persediaan untuk masa depan.

“Saya tidak terfikir soal rugi atau menyesal kerana yakin untuk fokus dengan apa yang sedang dilakukan sekarang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Skim Latihan 1 Malaysia (SLI1M).

Sufian berkata, walaupun satu hari nanti peminat sudah tidak memerlukannya dalam bidang seni dia belum memikirkan untuk meneruskan kerjaya pensyarah.

“Saya belum fikir apa akan jadi pada masa akan datang. Saya hanya mahu fokus dengan apa yang ada depan mata dulu.

“Saya mahu kembali dengan konsep lagu yang pernah dibawakan pada awal kemunculan kerana itulah yang peminat mahukan.

“Pada saat peminat disajikan lagu baru dan lebih moden, saya tampil dengan lagu balada serta berbeza,” katanya.

Katanya, jadual seninya pada 2018 sangat padat apatah lagi perlu mencari material baru untuk single seterusnya.

Berkongsi mengenai SL1M, Sufian berkata, program itu adalah pilihan terbaik buat graduan yang ingin mencari kerja.

Malah dia sendiri pernah mendaftar selepas tamat ijazah sarjana muda namun disebabkan belum selesai majlis konvokesyen dia tidak layak.

“Saya mahu orang ramai tahu program SL1M boleh membantu mereka dalam mencari pekerjaan.

“Sebagai artis jemputan dalam program ini, saya mahu lebih ramai generasi muda mengetahui manfaat SL1M,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 3:34 AM