ANA RAFFALI
ANA RAFFALI
Amirul Haswendy Ashari


Keseronokan menjadi guru bahasa Inggeris di sekolah swasta di Cheras membuatkan Ana Raffali, 32, mengambil keputusan berehat seketika daripada bidang nyanyian.

Mula dikenali menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku pada 2010 dan Kalau Berpacaran (2011), Ana atau Ana Nur Hidayah Mohd Raffali akui fokusnya juga berubah selepas berkahwin dan mempunyai anak.

Berkahwin dengan Ahmad Aznaim Abdullah pada 25 Februari 2012 dan dikurniakan anak, Aaydeen Oumar, 2, Ana menjadi guru selepas mendapat ijazah kelas pertama Sarjana Muda Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

“Saya menanam impian menjadi guru sejak dulu lagi. Apabila memiliki ijazah, rasa rugi kalau tidak digunakan. Tambah pula ibu bapa sendiri meletak harapan tinggi untuk saya berjaya dalam pelajaran seterusnya menjadi pendidik,” katanya.

Pernah menang Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) melalui Tolong Ingatkan Aku, Ana menafikan keputusan untuk berehat seketika dari dunia muzik sebagai langkah awal untuk bersara dari dunia seni.

Katanya, dalam tempoh beberapa tahun ini dia masih mencipta lagu dan lirik untuk agensi awam dan swasta seperti Kementerian Pelancongan bagi mempromosi industri inap desa (homestay).

“Undangan menjayakan persembahan juga masih diteruskan seperti biasa,” katanya.

Mahu menjadi contoh terbaik buat pelajarnya, Ana sering mengingatkan mereka supaya sentiasa menyahut cabaran dan keluar dari zon selesa sekiranya mahu maju dalam hidup.

“Tiada kejayaan tanpa usaha. Hal itu saya selalu tekankan kepada pelajar saya. Untuk berjaya, saya kena tunjuk contoh kepada mereka.

“Sejak menerapkan hal itu, saya boleh nampak perubahan ketara beberapa pelajar yang berdepan masalah penguasaan bahasa Inggeris sebelum ini,” katanya gembira.

Ana akui menjadi guru secara tidak langsung turut memberi peluang kepadanya mempelajari banyak hal mengenai kehidupan.

Tanpa berselindung, Ana juga menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah (PhD).

Katanya, sebelum penuhi hasrat itu dia perlu menimba pengalaman terlebih dulu dan melihat sisi permasalahan apa yang boleh diperbaiki dalam dunia pendidikan.

“Pada masa ini saya mahu mencari pusat pengajian atau pensyarah yang boleh membimbing saya mencari bahan kajian sesuai.

“Saya minat mengkaji aspek neurosains dalam pendidikan kerana negara kita masih kurang pendedahan dalam bidang itu,” katanya mahu mencari peluang itu di luar negara.

Biarpun bergelar guru, Ana akui pelajarnya turut mengenalinya sebagai penyanyi. Malah mereka selalu memintanya menyanyi dalam kelas setiap kali ada peluang.

“Saya selalu bergurau kalau nak saya menyanyi, kenalah beli album saya. Mereka mengikuti perkembangan saya di laman sosial.

“Saya anggap cara ini dapat menarik minat pelajar untuk mendalami ilmu dengan cara santai dan masa sama mewujudkan hubungan sihat antara guru dan pelajar,” katanya.

Ditemui pada sidang media program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV) baru-baru ini, dia melihat peluang itu sebagai detik manis buatnya.

Biarpun akan ada yang mengkategorikan dirinya sebagai penyanyi nasyid selepas ini kerana program itu, dia tidak kisah.

Katanya, apa saja genre muzik yang diketengahkan sama ada bermesejkan ketuhanan dan kemanusiaan, ia perlu terus dikembangkan.

Ana bersyukur diberi peluang menunjukkan bakatnya di arus perdana. Lebih manis, penyertaannya itu mendapat sokongan daripada keluarga, pelajar dan pihak sekolah.

Program bermula 8 April ini menerusi Astro Oasis, turut dijayakan Hafiz Hamidun, Izam EYE, Wani, Bienda, Azmi Caliph Buskers, kumpulan Unic, Saujana, Mirwana dan Hijjaz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:09 AM