KD janjikan persembahan luar biasa.
KD janjikan persembahan luar biasa.
Syanty Octavia Amry


Penyanyi terkenal dari seberang, Krisdayanti mengakui tidak menggalakkan anak gadisnya, Titania Aurelie Hermansyah berkahwin pada usia muda.

Gadis yang kini berusia 17 tahun itu dikatakan sudah mempunyai kekasih, namun keintiman mereka membuatkan penyanyi yang mesra dengan panggilan KD itu berharap perhubungan itu tidak berakhir ke jenjang pelamin dalam waktu yang terdekat, sebaliknya mahu anak dan kekasihnya lebih fokus terhadap pelajaran dan masa depan.

“Saya tahu dia kini sudah mempunyai teman lelaki. Baru-baru ini, saya sempat berhubung melalui telefon dengannya dan dia sedang bercuti.

“Saya mengusik­nya adakah dia mengambil gambar praperkahwinan, sambil ketawa dia menyatakan bercuti sekadar suka-suka dengan teman lain juga.

“Sebagai orang tua yang mempunyai pengalaman berkahwin pada usia muda, saya sendiri tidak menggalakkan anak berbuat demikian.

“Bukan kerana menyesal, tetapi saya tidak mahu dia kehilangan waktu remaja terlalu awal. Kita remaja hanya sekali, manfaatkanlah ia sebaiknya.

“Lagipun, saya tahu keluarga kekasih anak saya datang daripada keluarga yang berpendidikan dan yakin mereka juga berharap anak mereka menamatkan pe­ngajian sehingga bekerja,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran minggu setiausaha Krisdayanti Di Taman Bintang.... yang akan diadakan di Hotel The Royale Chulan Damansara.

Acara yang akan berlangsung pada 16 April depan difahamkan mendapat sambutan yang begitu hangat sehinggakan belum saja diadakan majlis sidang akhbar, tiket sudah hampir separuh dijual.

Bertemakan dalam taman, pastinya ada suatu kelainan yang bakal ditampil­kan pada persembahan KD nanti.

“Saya yakin pada hari itu nanti pasti ada peminat baru yang belum pernah me­nyaksikan persembahan saya.

“Justeru, tidak hanya mereka, malah kepada peminat sedia ada yang sering mengikuti persembahan saya akan disajikan dengan persembahan luar biasa yang pasti akan menjadi kena­ngan buat mereka.

“Saya akan tampil dengan 17 lagu termasuk lagu daripada penyanyi lain seperti Dayang Nurfaizah dan Datuk M Daud Kilau.

“Antara lagu mereka yang akan saya persembahkan ialah Di Pintu Syurga, Cek Mek Molek, Joget Kelantan dan Laksamana Raja Di Laut,” katanya.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan KD boleh mendapat­kan tempahan meja atau kerusi dengan menghubungi talian 03-79599190 atau e-mel kepada [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 9:25 AM