Luahan kekecewaan Amy yang dimuatnaik menerusi Instagram. FOTO Instagram Amy
Luahan kekecewaan Amy yang dimuatnaik menerusi Instagram. FOTO Instagram Amy
Syafil Syazwan Jefri


VOKALIS Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 58, menyeru supaya pengasas atau pemilik produk kesihatan menggunakan saluran yang betul sekiranya mahu menggunakan nama artis.

Seruan itu dibuat selepas ada pihak mengambil kesempatan menggunakan gambarnya untuk mempromosikan produk tanpa kebenaran.

Amy berkata, dia tidak mewakili produk itu sebaliknya hanya melayan kehendak peminat yang meminta dia bergambar sambil memegang kotak teh.

“Saya diminta untuk bergambar ketika selesai menjalani satu sesi rakaman. Tak sangka pula mereka menggunakan gambar serta nama saya untuk promosi iklan di Facebook,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, iklan itu ditemui isterinya yang turut disertai nombor telefon penjual.

“Apabila dihubungi, pemilik nombor itu mendakwa dia mendapat kebenaran untuk menggunakan gambar itu bagi tujuan promosi,” katanya.

Amy berkata, dia bukan peminum teh dan tidak mungkin akan mempromosikan produk kesihatan yang tidak tahu latar belakangnya.

“Bagaimana kalau pengguna produk itu berhadapan kesan sampingan yang buruk? Tentunya, orang akan menyalahkan artis yang ada dalam gambar promosi itu.

“Kalau betul ada produk kesihatan yang menjadikan saya jurucakap atau sebagainya, saya akan melakukan kajian mengenai produk serta latar belakang syarikat terlebih dulu dan tidak sewenang-wenangnya akan terima,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, Amy dan pengurusannya tidak akan mengambil tindakan undang-undang.

“Saya sudah kongsikan mengenai hal ini di Instagram dan buat masa sekarang, hanya itu tindakan saya,” katanya.

Semalam Amy memuatnaik gambarnya yang sedang memegang produk kesihatan berserta luahan kekecewaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 5:57 PM