AMY bakal membawa beberapa lagu popular Search.
AMY bakal membawa beberapa lagu popular Search.
Syafil Syazwan Jefri


Bagi peminat rock, Konsert Public Distortion 2017 menggabungkan Prime Domestic dan XPDC, Sabtu ini di Oasis Square, Ara Damansara, Petaling Jaya pasti dinanti-nantikan.

Tidak hanya mengganding­kan dua band itu, ia turut menampilkan legenda rock, Amy Search bagi memeriahkan lagi konsert berskala besar itu.

Prime Domestic yang membariskan bekas gitaris Wings, Joe, Hillary Ang (gitar), Aweera (vokalis), Fauzi (bass) dan Ainoll (dram) bersama XPDC dengan anggota seperti Ali (vokalis), Izo (gitar), Eddie (bass) dan Lola (dram) antara nama besar dalam arena rock tempatan.

Amy, 59, ketika ditemui berkata, dia bersetuju untuk turut serta dalam konsert itu selepas ditawarkan dua rakannya, Joe dan Hillary yang pernah bersamanya dalam Search.

“Saya tak perlu berfikir panjang. Apabila mereka menawarkan saya untuk turut serta, saya terus periksa jadual dan ada kekosongan untuk saya sertai mereka,” katanya.

PRIME Domestic
PRIME Domestic

Menurutnya, gandingannya bersama Prime Domestic dan XPDC sememangnya serasi.

“Konsert ini adalah tempat untuk kami bergabung tenaga dan tentunya peminat akan dapat melihat sendiri keserasian kami,” katanya.

Amy akan tampil dengan beberapa lagu popular Search ketika era Hillary, namun memilih untuk merahsiakannya kerana mahu memberikan kejutan kepada peminat.

Sementara itu, Joe yang juga seorang daripada penganjur Konsert Public Distortion 2017 berkata, pemilihan Amy kerana namanya yang besar dan layak digelar ikon rock.

“Itu salah satu strategi kami kerana kita semua sedia maklum, Amy ada peminatnya yang tersendiri. Kerana itu, dia penyanyi paling sesuai,” katanya.

Joe berkata, sepanjang konsert berdurasi dua jam 15 minit itu, mereka akan membawa 20 lagu.

“Kami akan membawakan lagu popular yang pernah saya sampaikan ketika bersama Wings dan lagu Search memandangkan Hillary bekas anggota Search.

“Selain itu, kami juga akan membawakan tujuh lagu baru bersama vokalis, Aweera. Mengenai persiapan, semuanya sudah siap dan hanya menunggu hari konsert,” katanya.

XPDC
XPDC

Dalam pada itu, pemain dram XPDC, Lola berkata, kali terakhir mereka mengadakan konsert berskala besar di Miri, Sarawak.

“Sabtu ini kami akan sampikan 12 lagu dan semuanya adalah lagu popular XPDC. Ada lagu yang kami pilih dan ada juga daripada pilihan peminat,” katanya.

Konsert Public Distortion 2017 menyasarkan kehadiran 5,000 penonton dan sehingga kini tiketnya masih terjual.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 12:28 PM