JOE. FOTO Aziah Azmee
JOE. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@ hmetro.com.my

Cerita tiga anggota kumpulan rock Prime Domestic iaitu Aweera (penyanyi), Hillary Ang (gitar) dan Fauzi (bass) meninggalkan kumpulan itu sudah tersebar dalam kalangan peminat mereka sejak lebih dua minggu lalu.

Minggu lalu Aweera mengesahkan dia sudah meninggalkan Prime Domestic yang diterajui bekas pemain gitar Wings, Joe itu sejak sebulan lalu.

Penyanyi itu menganggap dia tiada rezeki bersama Prime Domestic dan enggan mengulas panjang mengenai pengundurannya itu.

Pengurus Prime Domestic, Noh Alonso kemudian mendakwa Aweera gagal memberikan kualiti persembahan diharapkan. Hillary pula dikatakan ‘tikam belakang’ dengan memburukkan nama Joe kepada pihak luar dan ia mengecewakannya selaku pengasas dan ketua kumpulan Prime Domestic.

Pengunduran mereka juga sekali gus menyaksikan Prime Domestic

kini hanya dianggotai Joe dan Ainol (dram).

Namun, Joe yang sebelum ini mengambil pendekatan mengunci mulut akhirnya bersuara.

Tanpa berselindung, Joe, 48, atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir mengakui dia kecewa dengan tiga bekas anggota Prime Domestic itu.

“Saya tak kisah mereka nak tinggalkan Prime Domestic, tetapi saya kecewa dengan sikap mereka. Bagi saya, mereka tidak tahu bersyukur,” katanya kepada RAP.

Joe berkata, sejak awal penubuhan Prime Domestic, ia bukan sekadar suka-suka atau dibuat sambil lewa.

“Ia juga ada manifesto seperti parti politik dan kekal sebagai band projek tetapi yang serius. Pada masa sama, kami juga sepakat tidak akan menghalang kerjaya solo masing-masing.

“Contohnya, Hillary masih boleh bermain di kelab malam kerana itu minatnya. Saya pula tidak ke arah itu dan lebih suka bermain di gig. Fauzi pula dibenarkan mengiringi persembahan Datuk Ramli Sarip, Datuk Zainal Abidin atau bermain di kelab.

“Begitu juga Aweera yang boleh teruskan kerjaya solo, manakala Ainol masih boleh bermain dram untuk Bunkface dan Deja Voodoo Spells,” katanya.

Joe berkata, dia bersama rakan kongsinya dari JJ Rochestra Sdn Bhd yang banyak memberi tajaan kepada Prime Domestic tidak pernah menghalang kerana mereka mempunyai cara untuk mengatasinya sekiranya ada aktiviti yang bertembung tarikh.

“Isu ini tak pernah timbul tetapi apabila kerjaya dan projek solo mereka pun tak ke mana, mereka mula menyalahkan saya dan Prime Domestic.

“Saya memang keliru dengan mereka dan tak boleh bekerja dengan orang begitu. Mana ada orang duduk goyang kaki kemudian duit datang bergolek?

“Apabila ada masalah peribadi, mereka mahu saya yang fikir dan selesaikan. Ini pelik kerana masing-masing ada kehidupan dan tanggungjawab sendiri. Kalau nak jadi anak burung, saya bukannya emak burung!” katanya.

Menurut Joe, dia tak pernah tidak menolong mereka sekiranya ada masalah. Namun, dia hairan kenapa boleh timbul isu wang walaupun mereka sebenarnya mendapat banyak habuan daripada syarikat berkenaan.

Joe berkata, ketika Aweera berdepan masalah tunggakan sewa rumah, pihaknya yang menjelaskannya. Begitu juga ketika ibu Aweera sakit dan dia turut dibantu.

PRIME Domestic sebelum pengunduran Hillary, Aweera dan Fauzi. FOTO Saifullizan Tamadi.
PRIME Domestic sebelum pengunduran Hillary, Aweera dan Fauzi. FOTO Saifullizan Tamadi.

“Kami juga menghulurkan sumbangan ketika ibu mentua Hillary sakit dan meninggal dunia. Malah, Fauzi turut diberikan wang perbelanjaan.

“Bukan itu saja, Hillary turut mendapat gitar baru berharga lebih RM24,000. Dia yang meminati bidang fotografi turut diberikan kamera yang berharga lebih RM20,000. Fauzi juga diberikan gitar bass baru, tetapi dia memulangkannya semula sebelum meninggalkan Prime Domestic.

“Apabila sudah tolong sekali, minta lagi untuk kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Kalau tak dapat, mereka akan membuat persepsi sendiri dan berasakan diri tidak dipedulikan.

Joe berkata, permintaan mereka semakin melampau apabila meminta gaji bulanan sedangkan ia perkara yang mustahil untuk dilakukan.

“Konsert Prime Domestic sebelum ini dianjurkan sendiri oleh JJ Rochestra. Mana ada band baru keluar album terus adakan konsert sekarang. Mereka sepatutnya bersyukur dengan apa yang ada. Ini saja yang Allah bagi setakat ini kerana Prime Domestic belum keluarkan album lagi tetapi sudah mengadakan konsert dan sambutannya amat menggalakkan.

“Bukan mudah nak merancang sesebuah konsert kerana perlukan modal yang banyak. Mereka tidak terbabit dalam proses itu, mereka cuma datang berlatih dan bermain saja. Cuma ‘plug and play’ saja,” katanya.

Bagus juga Aweera keluar

Tindakan Aweera membuat keputusan meninggalkan Prime Domestic adalah tepat kerana dia sebenarnya memang akan digugurkan.

Joe berkata, selepas setahun setengah menyertai Prime Domestic, Aweera langsung tidak menunjukkan peningkatan sebagai penyanyi.

“Dia ada masalah untuk mendisiplinkan dirinya sendiri. Dia mahu dibayar tinggi, tetapi masalah itu tidak mahu diselesaikan. Dia suka tidur lewat. Rasanya dah berbuih mulut saya nasihatkan jangan tidur lewat, tetapi dah lebih setahun tak juga selesai.

“Nak jadi penyanyi yang bagus, pertama sekali waktu tidur kena jaga terutama jika hari persembahan semakin hampir. Malangnya dia tak mahu dengar cakap. Cita-citanya menggunung mahu jadi penyanyi seperti Datuk Awie, tetapi dengan sikap begitu saya rasa Aweera hanya boleh tengok saja ‘gunung’ itu,” katanya.

AWEERA dikatakan langsung tidak menunjukkan peningkatan. FOTO Salhani Ibrahim
AWEERA dikatakan langsung tidak menunjukkan peningkatan. FOTO Salhani Ibrahim

Tak tendang mereka

Joe tidak pernah berniat ‘menendang’ Aweera, Hillary dan Fauzi daripada Prime Domestic.

Katanya, dia tak boleh lagi bekerja dengan orang yang mempunyai mentaliti begitu.

“Saya tak boleh nak kerja dalam suasana yang ‘kotor’. Isu tukar anggota kumpulan ini memang lumrah kerana lima kepala nak jadikan satu memang susah.

“Golongan buta industri muzik ini tak ramai tapi yang peliknya dalam Prime Domestik ini, ada yang sudah lama dalam industri muzik tapi cara berfikir masih lagi naif.

“Saya bersyukur masih ada keluarga tersayang yang menyokong saya dan masih ada sahabat yang setia serta seorang hamba Allah yang sentiasa di belakang saya serta tak lupa, pengikut saya di luar sana,” katanya.

Menyifatkan perjalanan hidup perlu berwarna warni, Joe gembira dengan apa yang dilakukannya. Apatah lagi dia tidak pernah mengganggu orang lain dan mempunyai rekod buruk dalam industri muzik tempatan.

Joe berkata, pengunduran mereka tidak menimbulkan masalah kepadanya kerana dia sudah mempunyai pengganti yang sesuai.

“Siapa pengganti mereka biarlah saya rahsiakan dulu,” katanya.

Menurut Joe, kumpulan itu juga tidak kan lagi dikenali sebagai Prime Domestic, tetapi ditukar kepada PrimeD.

Sementara itu, Konsert Rockstar di Stadium Pasir Gudang, Johor menampilkan Prime Domestic dan Ella sepatutnya berlangsung pada 7 September depan terpaksa dibatalkan.

Joe berkata, penganjur meminta konsert dibatalkan atas beberapa masalah tertentu.

“Sekiranya penganjur tak membatalkan konsert, saya memang merancang untuk memperkenalkan anggota baru di sana,” katanya.

Ketika sidang media konsert berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Aweera, Hillary dan Fauzi juga tidak hadir.

“Saya pelik kenapa mereka boleh buat keputusan untuk tidak hadir pada sidang media itu kerana masing-masing sudah ambil wang pendahuluan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 8:41 AM