Lan dirawat di hospital Rabu lalu.
Lan dirawat di hospital Rabu lalu.
Sudirman Mohd Tahir


BEKAS vokalis kumpulan Kristal, Lan terpaksa menyanyi dalam sakit ketika konsert suku akhir Gegar Vaganza 4 (GV4) Ahad lalu selepas mengalami buasir, Rabu lalu.

Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 32, dinasihatkan doktor menjalani pembedahan membuang buasir itu tetapi mengambil keputusan menangguhkan terlebih dahulu.

Kata Lan, dia pernah mengalami buasir pada 2010 dan perlu menjalani pembedahan tetapi tidak berbuat sedemikian.

“Saya dinasihatkan tidak melakukan kerja berat bagi mengelakkan penyakit berulang.

“Sepanjang tempoh itu, saya boleh kawal tetapi ia sekali lagi menyerang Rabu lalu.

“Pada mulanya saya hanya ingin mendapatkan ubat di klinik tetapi kerana terlalu sakit, isteri membawa saya ke hospital.

“Hasil pemeriksaan, doktor sekali menasihatkan saya menjalani pembedahan tetapi saya perlu berehat lebih seminggu.

“Memandangkan saya terbabit dengan GV4, saya tangguhkan dulu,” katanya kepada Harian Metro.

Lan akui kali pertama menanggung kesakitan teruk dan waktu sama membuat persembahan.

Ketika latihan penuh Sabtu lalu, Lan tidak mampu berjalan dan terpaksa berkerusi roda.

“Ketika persembahan semalam, saya terpaksa menyanyi dan menahan sakit.

“Memang seksa dibuatnya sebab saya terpaksa buat dua kerja dalam waktu sama berbanding hanya jaga persembahan sebelum ini.

“Sakit yang saya lalui juga mempengaruhi satu badan termasuk reaksi muka. Sedikit sebanyak ia melemahkan semangat tetapi saya fikir yang baik-baik serta kuatkan diri,” katanya.

Kata Lan, dia boleh bertahan dan menggagahkan diri berdasarkan pengalaman lalu.

“Untuk keselesaan sementara, bahagian yang sakit dikejutkan. Buat masa sekarang, saya tidak terfikir lagi mahu tarik diri kerana masih kuat berjuang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 8:09 PM