Mohd Khusairi anggap anugerah sebagai penghargaan buat wartawan hiburan di negara ini. FOTO SALHANI IBRAHIM
Mohd Khusairi anggap anugerah sebagai penghargaan buat wartawan hiburan di negara ini. FOTO SALHANI IBRAHIM
Ridzuan Abdul Rahman


PERANAN dan hasil kerja penulisan serta sumbangan wartawan hiburan dalam memartabatkan industri seni tempatan akan dihargai menerusi Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) 2017.

AKIFMA 2017 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (WHAM) dan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan berlangsung pada 8 malam 24 November di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur.

Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, dalam kenyataannya berkata, majlis terbabit akan mempertemukan semula nama besar dalam dunia kewartawanan hiburan akhbar dan majalah sejak era 1980-an sehinggalah mereka yang masih bertugas di media popular, hari ini.

"Majlis anugerah julung kalinya diadakan ini adalah penghargaan kerajaan melalui FINAS di atas idea, usaha dan aspirasi pihak wartawan sebagai jentera pembangunan industri.

"Impak positif kewartawanan yang kritis dan kreatif secara jangka panjang amat penting bagi membantu kerajaan menjana kepada pembinaan masyarakat yang berilmu dan cintakan industri filem itu sendiri," katanya.

Menurutnya, anugerah ini bakal memberi pengiktirafan melalui penganugerahan 12 kategori utama termasuk Anugerah Khas Tokoh Wartawan Hiburan, penerima AKIFMA 2017 yang dinilai oleh barisan juri profesional.

"Penilaian dilakukan berdasarkan penulisan dan laporan wartawan hiburan berkaitan industri filem tempatan dari 1 Januari 2016 sehingga 31 Oktober 2017," katanya.

AKIFMA 2017 bakal menampilkan primadona filem Melayu era 80-an dan 90-an, Fauziah Ahmad Daud sebagai pengacara.

Bintang Azura itu akan bergandingan buat kali pertama dengan artis komedi popular, Abam Bocey.

Sementara itu, artis terkenal seperti Datuk Rosyam Noor, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Seri Shah Rezza dan beberapa nama besar dalam bidang kewartawanan hiburan antaranya Saodah Ismail, Sarimah Hussain dan Zubairi Zabidin diundang sebagai penyampai anugerah.

Setiap penerima anugerah akan membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai.

12 Kategori AKIFMA 2017

1. Anugerah Penulis Pojok Terbaik

2. Anugerah Wartawan Hiburan Muda

3. Anugerah Khas Juri 1

4. Anugerah Khas Juri 2

5. Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem

6. Anugerah Kolumnis Hiburan Terbaik

7. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Media Baharu)

8. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Televisyen)

9. Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Media Cetak)

10. Anugerah Kewartawanan Cemerlang 1

11. Anugerah Kewartawanan Cemerlang 2

12. Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 7:44 PM