MIRWANA mempunyai kekuatan vokal berharmoni terbaik setakat ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
MIRWANA mempunyai kekuatan vokal berharmoni terbaik setakat ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
Amirul Haswendy Ashari


Program realiti hiburan terbaru yang menghimpunkan penyanyi lagu berunsurkan ketuhanan dan kemanusiaan, Gema Gegar Vaganza (GGV) akan berakhir malam ini mempertaruhkan empat kumpulan dan dua solo untuk merebut juara.

Dalam pusingan separuh akhir minggu lalu, tiada penyingkiran diumumkan. Hijjaz, UNIC, Mirwana, Saujana, Azmi Caliph Buskers atau Azmi Saat dan Hafiz Hamidun berjaya ke peringkat akhir.

Bagi Hafiz Hamidun, rezeki berada di pentas akhir adalah di luar jangkaan kerana setiap minggu dia akur dengan kehebatan peserta lain yang bertaraf ‘otai’.

Dia akui sangat rendah diri setiap minggu dan tidak pernah meletak harapan tinggi. Malah kata Hafiz, dia agak cemburu dengan orang lain.

HAFIZ tak letak harapan tinggi. FOTO Zunnur Al Shafiq
HAFIZ tak letak harapan tinggi. FOTO Zunnur Al Shafiq

“Saya berjuang seorang diri manakala peserta lain mempunyai ahli kumpulan yang saling memberi kata semangat dan sokongan.

“Walaupun Azmi juga peserta solo, dilihat pada sambutan penonton, kita tahu sokongan terhadapnya jauh lebih besar berbanding saya,” katanya.

Pada masa sama, Hafiz akui pencabar utamanya ialah Azmi yang disifatkan bijak menjadikan kelemahan diri sebagai kelebihan.

Lebih menarik kerana Hafiz bakal berentap dengan Azmi malam ini pada pusingan Battle untuk lagu Aku Maafkan Kamu, nyanyian asal Jamal Abdillah. Untuk persembahan solo, Hafiz diberi lagu Nur Kasih yang dipopularkan kumpulan Inteam.

Azmi, 30, menyifatkan andai berjaya mendapat tiga tempat teratas pada malam ini, ia adalah satu keajaiban.

Katanya, biarpun pernah berada di pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu sebelum ini, dia akui perasaan takut dan gementar tetap menebal di dalam diri.

PERSEMBAHAN Azmi tidak pernah gagal dapat sorakan penonton. FOTO Zunnur Al Shafiq
PERSEMBAHAN Azmi tidak pernah gagal dapat sorakan penonton. FOTO Zunnur Al Shafiq

Katanya, hal paling ditakuti ialah mampu atau tidak mencapai nota tinggi sekiranya menyampaikan lagu yang mempunyai nada tinggi.

“Pada masa ini, pencabar utama ialah kumpulan UNIC kerana mereka sering mengeluarkan idea yang bagus lagi kreatif. Mereka sering keluar dari zon selesa,” katanya.

Azmi yang tidak pernah gagal mendapat sorakan penonton dan pujian juri hampir setiap minggu turut akui antara dugaan terbesarnya sepanjang konsert berlangsung adalah masa yang disifatkan tidak mencukupi baginya membuat persiapan.

Malam ini, Azmi bakal menyampaikan lagu Damai Yang Hilang nyanyian asal kumpulan Nowseeheart.

Kumpulan Saujana pula yang mengejutkan banyak pihak kerana berjaya mara ke peringkat akhir biarpun mendapat markah terendah pada konsert separuh akhir minggu lalu, menyifatkan keputusan itu sebagai peluang kedua buat mereka.

Tanpa berselindung, Saujana yang kini tinggal empat anggota, Azalinor atau Aza, Suffian (Pyan), Najran dan Adi, pasrah andai tersingkir pada malam separuh akhir, minggu lalu.

Kata Suffian, mereka hanya sedar pertandingan ini adalah hal serius pada minggu keempat selepas terkesan melihat persembahan Mirwana.

“Kostum yang mereka tempah untuk dipakai pada persembahan malam itu hanya siap pada petang hari konsert. Dari situ kami tersentak melihat semua peserta memang serius dengan pertandingan ini,” katanya.

Kata Suffian, pada awalnya mereka tidak ‘serius’ kerana niat asal menyertai GGV bukan untuk menang tetapi lebih kepada peluang bertemu dengan rakan seperjuangan terdahulu.

Apa pun kata Suffian, sejak itu Saujana mula memasang strategi dan berfikir di luar kotak dengan menghasilkan corak persembahan berbeza agar dapat menambat hati juri.

Pada malam ini, Saujana diberi lagu Penerang Hati nyanyian asal kumpulan 6th Sense dan lagu mereka mereka sendiri.

Suffian akui gembira kerana dua kali diberi lagu sendiri tetapi sedar ia bukan satu tugas mudah. Bagi mereka, menyanyikan lagu sendiri bukan kelebihan tetapi satu ‘perangkap’ kerana perlu melakukan kelainan dan perubahan.

“Kelainan itu di segi penyampaian, susunan muzik dan lari dari zon selesa. Mereka (juri) tidak mahu kita nyanyi sama seperti dalam album atau persembahan sebelum ini,” katanya.

Bagi tugasan kedua, Saujana akan bertarung dengan kumpulan UNIC melalui lagu Kalah Dalam Menang, nyanyian asal Syamsul Yusof dan Mawi.

Kumpulan Hijjaz pula yang diberi kelebihan menyanyi lagu sendiri pada konsert akhir malam ini melalui lagu Fatamorgana akui misi mereka hanya mahu membuat persembahan terbaik.

Biarpun digelar ‘otai’ dan diramal menjadi juara malam ini, Hijjaz dianggotai Munif Ahmad, Isman Nadim Isam, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim, melihat sudut menang kalah dalam pertandingan adalah hal biasa.

HIJJAZ pesaing terhebat dalam GGV Musim Pertama. FOTO Zunnur Al Shafiq
HIJJAZ pesaing terhebat dalam GGV Musim Pertama. FOTO Zunnur Al Shafiq

Kata Ariffin, apabila sampai ke tahap ini mereka boleh lihat usaha masing-masing sangat hebat dan menganggap mereka paling tua berbanding yang lain.

“Apabila kami dianggap pencabar terdekat, rasanya ia bukan satu kelebihan tetapi satu cabaran besar. Setiap minggu setiap kumpulan cuba fikirkan persembahan dan mesej yang sepatutnya disampaikan. Nyanyi sahaja tidak cukup untuk sampaikan mesej dan perlu disokong dengan visual,” katanya.

Isman pula berpendapat, punca kumpulan lain melabel Hijjaz adalah pencabar utama kerana kebanyakan daripada mereka adalah anak didik Hijjaz sendiri.

Katanya, ada antara mereka menganggap Hijjaz sebagai bapa dan abang dalam bidang nasyid tetapi baginya masing-masing ada peluang dan tugas untuk sampaikan yang terbaik.

“Apa yang paling penting, orang (penonton) nampak ‘grand’! Saya lihat semua hendak nampakkan program ini besar sebab sudah lama tiada pentas sebaik ini untuk penyokong genre nasyid,” katanya bangga.

Tanpa berselindung, kumpulan itu akui misi mereka ialah mahu semua peserta membuat persembahan terbaik agar masyarakat kembali menyokong irama nasyid seperti dua dekad lalu.

Untuk tugasan kedua, Hijjaz akan bertarung dengan kumpulan Mirwana melalui lagu Alhamdulillah yang pernah dipopularkan Yassin dan kumpulan rap Too Phat.

Peringkat Akhir Gema Gegar Vaganza 2017 yang dihoskan Achey (Bochey), Siti Nordiana dan Fikri Ibrahim disiarkan secara langsung menerusi Astro Oasis (106) dan Maya HD (135) bermula jam 8.30 malam ini.

Juara GGV akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi, Naib Juara RM30,000, tempat ketiga (RM20,000) dan keempat (RM10,000).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 12:26 PM