SUDAH biasa dikritik sejak muncul dalam industri muzik nasyid 14 tahun lalu.
SUDAH biasa dikritik sejak muncul dalam industri muzik nasyid 14 tahun lalu.
Amirul Haswendy Ashari


Dalam basah dihujani pelbagai isu panas program realiti nyanyian terbaru Astro, Gema Gegar Vaganza, kumpulan Mirwana boleh dikatakan antara paling tenang.

Kebanyakan peserta, malah pengacara dikritik hebat dek isu berkaitan pemilihan lagu, pergaulan, pemakaian dan corak per­sembahan yang didakwa tidak mencerminkan sema­ngat ‘lagu ketuhanan’ yang diketengahkan.

Muhammad Akmaluddin Samsudin, 37, atau Akmal mewakili anggota lain berkata, Mirwana sudah biasa dikritik sejak awal kemunculan mereka dalam industri muzik nasyid kira-kira 14 tahun lalu.

Selain Akmal, Mirwana dianggotai Mohd Hafiz Hamzah, Muhammad Hafiz Tamizi, Syed Muhammad Izzat Syed Mahadi, Syed Muhammad Ikram Syed Mahadi dan Naemul Helmi Mohd Napiah.

“Kami sudah biasa dikritik sejak dulu. Apa yang penting sentiasa positif. Selagi apa yang dilakukan tidak salah, kami akan teruskan.

“Syukur selama GGV bersiaran, belum ada lagi komen negatif yang diterima. Andai ada pun isu dibangkitkan hanyalah mengenai mengapa Mirwana tidak nampak seperti kumpulan nasyid?,” katanya.

Akmal akui, sejak dulu mereka berpegang pada satu peraturan ringkas yakni dalam Islam wajib menutup aurat dan sopan. Sama ada berkopiah atau tidak, ia bukan masalah.

Itu bermakna berfesyen bukan satu kesalahan lantas mereka tiada masalah untuk tampil dengan penampilan berbeza setiap minggu dalam program realiti terbaru terbitan Astro Oasis itu.

Apatah lagi, sebagai ‘penghibur’ di pentas, penampilan yang kemas dan sopan perlu dititikberatkan. Mungkin disebabkan itu, Mirwana sering selamat daripada dihentam di media sosial.

“Komen orang ada macam-macam tapi sebagai penyampai lagu-lagu positif, cukuplah kami berpegang pada garis panduan yang sedia ada.

“Ambil contoh persembahan minggu pertama dan kedua lalu, penampilan kami memang berbeza mengikut tema apabila Mirwana memakai pakaian yang mengikut aliran fesyen semasa dan sesuai suasana dunia hiburan tempatan,” katanya.

Berbicara mengenai muzik ditampilkan, Mirwana menjelaskan mereka memperjuangkan konsep sebuah kumpulan vokal dan bukan kumpulan nasyid seperti Hijjaz, Saujana atau UNIC.

Persamaan mereka hanya pada lagu yang dibawakan iaitu bertemakan ketuhanan dan kehidupan, itu sahaja.

Biarpun sering disalah erti, Mirwana tetap berdiri kukuh dalam GGV sebagai antara peserta yang menyerlah setiap minggu.

Pada minggu lalu, Mirwana yang menyanyikan lagu Satu berada dalam tiga tempat teratas undian juri profesional dan dipilih sebagai pemenang Anugerah Gema Terindah kategori transformasi terserlah atas persembahan mereka yang memukau.

“Kami suka meneroka vokal, tidak kisah sama ada ia dalam genre pop, rock atau balada sekalipun. Untuk GGV, kami bergilir bermain dengan vokal masing-masing,” katanya.

Mirwana menyampaikan lagu berjudul Doa pada konsert bertemakan Nakustika (Nasyid Akustika), semalam.

Akmal tidak menafikan semua peserta berkumpulan mempunyai kekuatan masing-masing dan ramai menganggap bilangan ahli ramai dalam Mirwana adalah satu kelebihan.

Malangnya, ia bukan situasi yang boleh dibanggakan kerana apabila semakin ramai ahli kumpulan, ruang untuk berlaku kesilapan lebih luas.

Apatah lagi, setiap ahli mempunyai jenis vokal tersendiri dan keseimbangan perlu ada antara mereka.

“Disebabkan itu, pemilihan lagu untuk setiap persembahan perlu disesuaikan dengan kemampuan vokal masing-masing.

“Mungkin ada satu atau dua daripada kami boleh mendendangkan lagu pilihan itu dengan baik, jadi seharusnya kami membina konsep siapa paling sesuai untuk menjadi vokal utama, manakala yang lain bertindak sebagai suara latar,” katanya.

Katanya, Mirwana sedar kebanyakan lagu ketuhanan berasal dari Indonesia ba­nyak berpegang pada elemen sufi, contohnya lagu Satu, yang didendangkan minggu lalu.

Bagi mereka, apabila dikaji semula lagu dinyanyikan, liriknya adalah berat dan kalau salah pemahaman akan memberi maksud berbeza dan berkemungkinan tidak dapat diterima pendengar.

Apabila mendapat lagu seperti itu, mereka perlu menghormati dan menyampaikannya dengan cara tersendiri. Sebagai contoh pada persembahan minggu lalu, Mirwana memasukkan takbir dan syahadah.

“Pemahaman mengenai sufi itu terpulang kepada individu, ada yang boleh terima dan ada sebaliknya. Dalam Islam, sufi dianggap satu peringkat tertinggi untuk mereka yang memiliki ilmu agama.

“Ia bukan peringkat (level) saya tapi saya tahu pemahaman mereka lebih tinggi dan tiada hak untuk perlekehkan,” katanya yang turut pelajari dulu peringkat ilmu dalam Islam untuk memahaminya.

GGV dihoskan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo, turut menampilkan Farihin Abdul Fattah, Oki Setiana Dewi dan seorang selebriti jemputan sebagai juri, bersiaran secara langsung setiap Sabtu jam 9 malam di saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 2:44 AM