JANICE dirasuk roh jahat.
JANICE dirasuk roh jahat.
Susunan Michelle Gun


Sejak memulakan tayangan dua minggu lalu, filem seram Annabelle: Creation berjaya menewaskan karya besar di Box Office Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.

Prekuel filem Annabelle (2014) ini dilaporkan meraih kutipan RM150.56 juta dalam tempoh tiga hari tayangan di Amerika Syarikat.

Pencapaian karya arahan David F Sandberg itu dikatakan paling berjaya dalam siri The Conjuring berikutan sambutannya di 26 negara.

Setakat ini, filem keempat dalam siri The Conjuring terbabit sudah mencecah kutipan RM686.32 juta dari panggung seluruh dunia.

Annabelle: Creation yang mengisahkan penciptaan anak patung dihuni roh syaitan diangkat penonton sebagai filem seram paling berkesan tahun ini.

Antara kejayaan filem itu disebabkan plot cerita menarik serta kesan khas yang berjaya membuat penonton takut dan cemas.

Filem asal Annabelle pada 2014 dikatakan gagal menambat hati penonton namun mengaut hasil jualan tiket RM158.71 juta pada minggu pertama tayangan.

Annabelle: Creation dibintangi Stephanie Sigman, Talitha Bateman, Anthony LaPaglia dan Miranda Otto.

Ia mengisahkan sepasang suami isteri alim sanggup berjumpa dengan bomoh demi ‘menghidupkan’ semula roh anak perempuan mereka yang mati dalam kemalangan ngeri.

Mereka turut mengikut permintaan roh itu untuk ‘hidup’ dalam anak patung kesayangan anak mereka.

Bagaimanapun, pasangan ini tidak menduga roh terbabit sebenarnya syaitan dan menghalaunya menggunakan kaedah sendiri.

Akhirnya, anak patung itu dikurung dalam sebuah bilik oleh pihak gereja namun roh jahat terbabit kembali mengganas selepas sekumpulan anak yatim tinggal di kediaman pasangan berkenaan.

Selain Annabelle, terdapat lima lagi filem seram menarik yang bakal ditayangkan iaitu IT, Happy Death Day, Cult of Chucky, Jigsaw dan Mother.

Filem IT yang akan menemui penonton Malaysia pada 7 September ini adalah adaptasi novel nukilan penulis terkenal Stephen King.

Watak utama filem ini adalah badut jahat yang menghantui kehidupan mangsanya. Kehilangan tujuh kanak-kanak di bandar Derry in Maine turut dikaitkan dengan keganasan badut terbabit.

Manakala filem Mother dibintangi Jennifer Lawrence, Javier Bardem, Ed Harris akan ditayangkan di seluruh negara mulai 14 September ini.

Ia mengisahkan pasangan suami isteri muda berdepan kejadian ngeri selepas berpindah ke rumah baru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 4:48 AM