Jika anda meminati filem seram yang mengangkat subjek watak patung sebagai fokus cerita seperti Annabelle, Dolly Dearest atau Child’s Play, pasti The Boy menjadi senarai terbaru dalam filem seram wajib tonton anda.
Dari segi karakter, ia mempunyai sisi hampir sama seperti Annabelle cuma penampakan hantu atau roh jahat dan unsur pemujaan tidak terlalu jelas.
Prop patung secara fizikal tidak terlalu seram dan masih seperti kebanyakan patung lain, bezanya ia bersaiz kanak-kanak berusia 10 tahun dan mempunyai sepasang mata berkaca seolah-olah ia benar-benar sedang memerhati.
Pun demikian, percaya atau tidak, elemen itu antara sebab The Boy ialah subjek yang lebih gelap berbanding filem seumpamanya sebelum ini. Lantas ia memberi ruang kepada penonton untuk terus bermain teka-teki dan merasai keseraman pada babak awal.
Dari segi lakonan, Lauren Cohan sebagai Greta boleh dianggap ‘okey’ sahaja. Namun, jika dibandingkan dengan popularitinya melalui drama bersiri The Walking Dead, filem The Boy kiranya batu loncatan yang baik buat Lauren.
The Boy mengisahkan Greta dari Amerika Syarikat, yang menerima tawaran sebagai pengasuh di satu rumah agam di pinggir kampung di England.
Sebaik saja tiba, dia terkejut kanak-kanak yang perlu dijaga bukan kanak-kanak sebenar, sebaliknya patung bersaiz kanak-kanak yang diperbuat daripada porselin.
Greta yang degil melanggar beberapa senarai yang perlu dilakukan untuk menjaga patung itu dan bermulalah gangguan demi gangguan yang akhirnya membuatkan Greta menyesal.
INFO
THE BOY
- Arahan: William Brent Bell
- Pelakon: Lauren Cohan, Rupert Evans dan Ben Robson
- Genre: Seram
- Tayangan: 21 Januari 2016
- Ulasan: Amirul Haswendy Ashari