BARISAN pelakon yang memberikan lakonan mantap dalam telefilem ini.
BARISAN pelakon yang memberikan lakonan mantap dalam telefilem ini.
Syanty Octavia Amry


Sempena Aidilfitri, penonton tidak hanya dimeriahkan dengan program bercorak hiburan semata-mata.

Sebaliknya, penonton juga disajikan dengan program kerohanian dan kesedaran terutama dalam merai dan mensyukuri nikmat Aidilfitri itu sendiri.

Sehubungan itu, saluran Astro Citra dan Mustika HD tampil dengan telefilem istimewa berjudul Kembalikan Syawalku pada jam 9 malam esok.

Telefilem terbitan Arie Zaharie Production itu menampilkan lakonan hebat Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Sabri Yunus, Syafie Naswip dan Sharifah Amani.

Lokasi penggambaran yang menggunakan Hospital Batu Gajah, Perak cukup memberi 1,000 makna buat kita yang dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan sihat walafiat.

Penerbitnya, Arie Zaharie berkata, dia bersyukur apabila ketiga-tiga pelakon senior berkenaan sudi memberi kerjasama untuk menjayakan telefilem ini.

“Semua sedia maklum akan kehebatan lakonan masing-masing dan tidak perlulah kita pertikaikan.

“Saya yakin lakonan mantap daripada mereka bertiga cukup kuat untuk menghidupkan jalan cerita,” katanya.

Telefilem ini mengisahkan kehidupan Aishah dan anaknya, Akil serta Latifah dan suaminya, Jamil. Masing-masing bertemu di sebuah hospital.

Sepanjang Ramadan mereka berkampung di hospital sehinggalah malam Aidilfitri. Pelbagai perkara berlaku kepada mereka dalam tempoh itu.

Apa yang berlaku menjadikan masing-masing lebih kuat dan menghargai sambutan Aidilfitri selepas kehilangan orang tersayang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 1:11 AM