SWEET Qismina.
SWEET Qismina.
Norhayati Nordin

Sedekad menceburi bidang lakonan, baru kini nama pelakon Sweet Qismina, 20, menjadi perhatian. Dia akui selepas kejayaaan pada Anugerah Bintang Popular BH ke-30 (ABPBH 3.0) baru-baru ini, banyak tawaran diterima hingga jadualnya padat.

Untuk kekal sihat, Sweet atau Farhanna Qismina Supandi mempunyai amalan yang dilakukannya sejak dulu. Dia tidak suka bersenam tetapi cara penjagaan kesihatan yang diamalkan adalah menjaga pemakanan.

Berkongsi tip penjagaan kesihatannya, dia bukan suka makan cuma pastikan banyak minum air termasuk mengambil produk khasiat tambahan.

“Saya memang lebih suka minum air suam dan kurang mengambil minuman manis. Namun, hidangan utama yang harus ada adalah sayur-sayuran,” katanya.

Sweet mula berlakon pada 2008 dalam drama Hikayat Putera Shazlan, sangat menyukai sayur-sayuran dan ambil berat cara ia dimasak.

“Masaklah dan hidanglah apa saja jenis masakan berasaskan sayur, saya pasti makan dan takkan menolak.

“Saya juga suka makan ulam-ulaman. Biasalah, tekak Melayu memang ulam jadi pilihan,” katanya.

Mula mendapat perhatian selepas membintangi drama Misteri Wan Peah, Sweet berkata, pada Ramadan ini dia masih lagi sibuk berlakon.

Katanya, dia perlu menyiapkan drama Cinta Koko Coklat sebanyak 50 episod untuk TV3 dan tempoh penggambaran berbaki sebulan lagi.

“Memandangkan sekarang bulan puasa, untuk kekal bertenaga saya memang tak makan banyak ketika berbuka.

“Cukup makan nasi setengah senduk dan kalau tidak ada lauk pun tidak mengapa. Sudah memadai jika saya minum satu botol air mineral.

“Selain itu, dapat berbuka dengan kurma saja pun saya tiada masalah kerana cukup untuk saya peroleh tenaga,” katanya.

Dia juga utamakan makan buah-buahan kerana banyak khasiat dan mengandungi pelbagai vitamin.

Mengenai penjagaan kulit wajah, sebagai selebriti dan gadis remaja, dia memberi perhatian pada kecantikan. Tambah pula, dia mempunyai kulit muka bermasalah.

“Saya memang memberi perhatian pada muka kerana mempunyai kulit bermasalah. Setiap bulan saya menjalani pemeriksaan dan rawatan di klinik kulit.

“Selain itu, jika tidak terbabit aktiviti penggambaran, saya akan pastikan muka bebas daripada solekan. Walaupun keluar bersiar-siar bersama keluarga atau rakan, saya takkan sekali-kali sentuh mekap. Saya selesa tanpa solekan,” katanya.

Mengenai gaya dan fesyen, Sweet akui beruntung kerana ibunya seorang yang peka terhadap penampilan. Ibunya akan menegur kalau penampilannya tidak kemas.

“Bagi mama, penting untuk tampil kemas di mana-mana. Tidak kiralah hanya keluar bersama keluarga, tetapi daripada hujung rambut ke kaki mesti kemas dan nampak cantik,” katanya.

Sweet juga akui tidak cerewet soal fesyen. Asalkan kemas dan tampil menarik, itu sudah memadai buatnya. Dia juga bergaya mengikut ‘mood’. Kalau ‘mood’ biru maka pakaian, aksesori dan kasut semestinya biru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:03 AM