BAJU Melayu seharusnya selesa untuk dipakai dalam pelbagai keadaan dan majlis.
BAJU Melayu seharusnya selesa untuk dipakai dalam pelbagai keadaan dan majlis.
Hafiz Ithnin

PAKAIAN baju Melayu menggambarkan moral dalam masyarakat. Mengapa perlu ada inovasi yang menyimpang?" kata Presiden Malaysia Bumiputera Designers Associations (MBDA), Bon Zainal Harun atau dikenali sebagai Bon Zainal.

Baju Melayu potongan sendat persis potongan kebaya nyonya, saiz terlalu besar seolah-olah disarungkan untuk orang-orang di bendang menghalau burung pemakan biji padi atau sarat berenda di keliling pakaian untuk lelaki itu bagaikan satu 'inovasi' bukan mencerminkan pakaian kebangsaan yang mempunyai ciri-ciri tradisi yang seharusnya perlu dijaga.

Bagi pereka fesyen lebih 30 tahun di dalam industri itu, inovasi berkenaan yang segelintir melihat sebagai 'roh' baharu dalam pakaian baju Melayu sebenarnya sudah membunuh tradisi masyarakat yang kaya dengan moral.

Katanya, jika melihat kepada pakaian tradisional masyarakat lain di negara ini mereka masih mengekalkan elemen tradisi yang dimiliki ratusan tahun.

Jika ada pun, diubah sedikit seperti dari segi pemilihan rona tekstil dan tidak dimakan terus oleh 'pemakan' fesyen yang inginkan perhatian di dalam industri.

Jelasnya, situasi inovasi baju Melayu yang dilihat semakin menyimpang mungkin dalam tempoh lapan tahun lalu terutama apabila wujudnya dunia media sosial yang memerlukan pereka dan pembeli ingin melihat lebih unik dalam paparan platform digital milik mereka.

"Kita perlu tahu baju Melayu yang sinonim dengan orang lelaki beragama Islam di Malaysia tujuannya termasuk melakukan ibadat, menghadiri majlis tertentu yang perlu menampilkan jati diri bangsa itu sendiri atau dalam musim perayaan sudah tentu dipakai seharian untuk menziarahi sanak saudara.

GENERASI muda perlu didik mengenai elemen tradisi yang perlu ada pada baju Melayu. (Gambar hiasan).
GENERASI muda perlu didik mengenai elemen tradisi yang perlu ada pada baju Melayu. (Gambar hiasan).

"Konsep pemakaian baju Melayu mesti mencerminkan moral kesantunan seorang lelaki, menutup aurat, kemas dan selesa. Jika diubah konsep seperti menggunakan kain jarang sehingga menampakkan kulit, di mana elemen moral kesantunan itu? Adakah ia layak untuk dipanggil baju Melayu?" katanya.

Katanya, ketika ini terdapat banyak baju Melayu menjadi arus kini yang lebih sendat ketika dipakai. Perkara itu juga adalah sesuatu yang sudah lari dari konsep memakai baju Melayu kerana ia sudah memberi rasa kurang selesa untuk beribadat misalnya.

Jelasnya, baju Melayu seharusnya selesa untuk dipakai dalam pelbagai keadaan dan majlis selain tidak hanya tampak cantik dimuat naik di media sosial kerana terpengaruh dengan segmen fotografi yang ditayangkan di media.

"Kadangkala kita, apabila melihat orang lain pakai terutama dalam media sosial atau sesi fotografi yang disarungkan selebriti atau model begitu cantik, tetapi sebenarnya bukan semuanya sesuai untuk kita.

"Dalam sesi fotografi, memasarkan pakaian menjadi kewajipan bagi memastikan busana yang hendak dipasarkan itu terletak cantik bagi memastikan ia mampu menarik perhatian, tetapi sebagai pengguna perlu bijak untuk menilai apabila ia diacukan di badan sendiri. Adakah ia sesuai atau sebaliknya?" katanya.

Tambah Bon Zainal, ketika ini orang ramai juga jangan terikut-ikut dengan gaya dipersembahkan model ketika berpakaian baju Melayu seperti memakai tongkat yang seakan menjadi elemen penting melengkapkan pakaian tradisi itu.

INOVASI dalam rekaan baju Melayu seharusnya tidak boleh menghilangkan identitinya. (Gambar hiasan).
INOVASI dalam rekaan baju Melayu seharusnya tidak boleh menghilangkan identitinya. (Gambar hiasan).

"Saya melihat dalam mempamerkan helaian baju Melayu di media sosial khasnya, model banyak memperagakan busana itu bersama tongkat yang seakan-akan menjadi satu keperluan dalam berpakaian.

"Adakah maksud tongkat itu sesuatu yang lebih berprestij daripada khazanah baju Melayu yang menjadi tradisi ratusan tahun di negara ini jika dipadankan dengan busana itu? Jadi orang ramai juga jangan terikut-ikut dengan gaya seperti itu kerana konsep busana ringkas itu lebih tampak mewah," katanya.

Pemilik Ijazah Rekaan Fesyen dan Dagangan di Amerika Syarikat itu juga berkata, dalam elemen baju Melayu mempunyai erti tersendiri seperti butang lima yang bermaksud rukun Islam, berbutang satu iaitu Tuhan Yang Esa dan cara pemakaian bersamping juga ada maksud ingin disampaikan sama ada sudah berkahwin atau bujang.

"Jika kita lihat di pasaran pada hari ini ada yang memasarkan jenis inovasi baju Melayu yang dilihat tidak menentu keadaannya dengan penuh berselirat pelbagai corak bunga atau dihiasi dengan renda yang sarat.

"Ia juga menunjukkan dalam pemakaian itu sendiri sudah tidak ada titik fokalnya. Jika kita lihat baju Melayu adalah tidak bercorak dan hanya samping sahaja menjadi corak sebagai penghias si pemakai. Jadi apabila busana serba polos dan hanya terdapat samping menarik, ia menjadi padanan yang terbaik," katanya.

Bon Zainal berkata, dari segi pereka fesyen mereka sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan pakaian tradisional itu sentiasa dipelihara dan tidak sekadar mengejar populariti memandangkan ia adalah sebuah khazanah kebangsaan yang amat berharga.

SETIAP pereka baju Melayu perlu peka dengan tanggungjawab menjaga tradisi busana berkenaan. (Gambar hiasan).
SETIAP pereka baju Melayu perlu peka dengan tanggungjawab menjaga tradisi busana berkenaan. (Gambar hiasan).

"Kalau di barat sekali pun, bagi mencipta sebuah sut atau tuxedo yang begitu sinonim dengan pakaian masyarakat mereka, elemen klasik masih dikekalkan kerana bagi mereka perkara itu adalah jati diri sebagai pereka.

"Malah, jangan meletakkan keadaan baju Melayu atau ciri-ciri penting yang ada padanya di tempat yang tidak betul seperti mengadakan pertunjukan fesyen lelaki yang mengenakan elemen baju Melayu, tetapi kelihatan auratnya," katanya.

Ketika ditanya mengenai warna baju Melayu yang menjadi tumpuan pada tahun ini, katanya, dalam situasi semasa iaitu di kala dunia memerangi pandemik Covid-19, menghargai golongan barisan hadapan adalah tindakan yang wajar.

"Dicadangkan untuk menghargai golongan barisan hadapan yang meletakkan nyawa mereka untuk menyelamatkan nyawa orang lain, kita (lelaki) pada Aidilfitri kali ini mengenakan baju Melayu berwarna biru sebagai tanda menghargai mereka.

"Walaupun Aidilfitri kali ini sudah berada dalam normal berbeza, tetapi jika foto berbaju biru dimuat naik ramai pasti menonjolkan semangat kita semua menyokong dan memberi motivasi kepada golongan yang berkhidmat untuk negara," katanya mengakhiri perbualan.

BON Zainal
BON Zainal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 7:01 AM