MENEKANKAN ekspresi muka dan hasilkan potret   yang lebih teliti dan halus.
MENEKANKAN ekspresi muka dan hasilkan potret yang lebih teliti dan halus.
MENEKANKAN ekspresi muka dan hasilkan potret   yang lebih teliti dan halus.
MENEKANKAN ekspresi muka dan hasilkan potret yang lebih teliti dan halus.
AZAIKMAL
AZAIKMAL
Nor Hanisah Kamaruzaman

Terpegun saat pertama kali menjejakkan kaki ke studio anak muda ini kerana bukan saja ruang berkarya dipenuhi lukisan potret harimau unik namun setiap satunya kelihatan ‘hidup’.

Azaikmal Ahmad Rashid, 29, berkata, minat dan kepakaran menghasilkan lukisan harimau menjadikan dia berani membuat pameran solo koleksi potret haiwan itu hujung tahun ini.

“Setiap lukisan saya tonjolkan ekspresi muka harimau dan matanya menjadi fokus utama membuatkan setiap lukisan nampak ‘bernyawa’.

“Ini siri lukisan terbaru yang saya hasilkan dan bakal dipamerkan pada pameran solo akan datang di sebuah galeri di Muar, Johor,” katanya.

Menurut Azaikmal, harimau dipilih menjadi elemen utama dalam koleksi kali ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kepupusan haiwan tempatan itu.

“Seperti yang kita tahu, harimau malaya (malayan tiger) diancam kepupusan jadi ini satu usaha saya dengan menyampaikan mesej melalui ekspresi di atas kanvas untuk tingkatkan kesedaran orang ramai,” katanya.

Selain itu, Azaikmal turut memilih harimau kerana bertepatan untuk memperkenalkan karyanya bagi penonton dan pengumpul dari Johor dengan melukis lambang atau simbol yang dekat masyarakat dari negeri itu.

“Saya pilih harimau juga kerana ingin lebih dekat dengan khalayak dari Johor memandangkan saya bakal adakan pameran solo di sana dan Johor terkenal dengan jolokan ‘Harimau Selatan’.

“Tapi ia juga kepuasan untuk diri saya kerana dapat mencabar diri melukis sesuatu yang tidak ramai mampu hasilkan kerana bagi dapatkan rujukan ekspresi harimau yang garang tidak semudah disangka,” katanya.

Katanya, karya seni bergenre semi-realisme itu mengetengahkan penggunaan medium cat minyak dan bitumen di atas kanvas.

“Saya banyak bereksperimen dengan pelbagai medium sebelum ini dan untuk siri ini saya rasakan lebih sesuai untuk gunakan cat minyak serta bitumen bagi menghasilkan kesan istimewa yang saya inginkan,” katanya.

“Bagi saya sebagai artis muda, inilah masanya untuk bereksperimen dan mencari apa yang kita minat dan serasi.

“Sebagai artis muda juga perlu berani menghasilkan banyak karya dan sertai pameran terutama di luar Lembah Klang supaya karya lebih dikenali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 9:51 AM