ANTARA lukisan gergasi di Benalla.
ANTARA lukisan gergasi di Benalla.
Munira Yusoff


SEORANG kanak-kanak dengan wajah penuh perasaan mengintai ke luar tingkap manakala beberapa meter di sebelahnya, seorang wanita menyejukkan badan berendam dalam kolam air gergasi ketika matahari terik menyinar.

Di seberang jalan pula, bapa kemerdekaan India, Mahatma Gandhi menghiasi sisi sebuah restoran tandoori dengan kata-kata hikmak pernah diucapkan pemimpin itu turut tertulis padanya.

Semuanya sebahagian daripada seni jalanan dihasilkan ketika Festival Seni Wall to Wall di Benalla, Australia - acara yang menghimpunkan pelukis berbakat dari seluruh dunia yang berkumpul untuk benar-benar melepaskan kreativiti mereka melukis pada dinding atau tembok yang diberikan, baru-baru ini.

PAPARAN keindahan berbeza seorang gadis manis bermain congkak.
PAPARAN keindahan berbeza seorang gadis manis bermain congkak.

Acara seni selama tiga hari dua malam itu melihat luahan seni menerusi 70 mural yang perlu disiapkan ketika tempoh itu, sambil disaksikan secara dekat oleh pengunjungnya.

Sisi restoran, tembok besar malah dinding pada pusat mencuci kereta sekalipun menjadi ‘kanvas’ gergasi. Tiada sekatan terhadap kreativiti mereka - setiap artis diberi peluang meluahkan apa saja menerusi lukisan mereka.

Apa yang pasti setiap karya dipamerkan dalam ‘galeri terbuka’ Benalla memukau pengunjungnya, malah ada yang datang ke bandar kecil itu setiap kali festival diadakan untuk melihat apa yang akan dihidangkan berbanding tahun lalu.

Dua artis Malaysia, Akid One dan Kong Chak Kiong, turut mengharumkan nama negara apabila dijemput menyertai acara berkenaan, selepas memenangi pertandingan Make Your Mark in Melbourne tahun lalu anjuran bersama UEM Sunrise, Visit Victoria dan Publika Shopping Gallery.

AKID One menyiapkan kemasan akhir pada muralnya.
AKID One menyiapkan kemasan akhir pada muralnya.

Akid One, atau nama sebenarnya Mohd Zulfadli Ahmad Nawawi menghasilkan mural besar dengan empat panel menggambarkan sisi berbeza seorang gadis Melayu berpakaian tradisional bermain congkak. Mimik muka dan corak yang menghiasi bajunya amat rumit dengan butiran begitu terperinci.

“Wanita dalam lukisan itu sebenarnya adik ipar saya, malah tajuk karya ini memang ‘Yameen Main Congkak.’ Memang saya memintanya menggayakan begitu. Saya memang mahu mengetengahkan kesantunan budaya kita, pergerakan yang lembut dan tersusun ketika bermain permainan tradisional seperti ini.

“Disebabkan itu juga saya mengembangkannya kepada empat sudut. Sebenarnya pada asalnya saya cuma mahu menggunakan dua panel dinding, tetapi pada hari ketiga saya melihat masa masih banyak jadi saya cabar diri untuk menambah dua lagi panel lukisan. Secara tidak langsung ia juga membolehkan saya memberikan sentuhan seni berbeza untuk gambar yang sama.

PENGGUNAAN warna yang melengkapkan gambaran suka duka perjalanan Jagung sebagai artis.
PENGGUNAAN warna yang melengkapkan gambaran suka duka perjalanan Jagung sebagai artis.

“Memang ada maksud lebih mendalam di sebalik lukisan ini, iaitu kita sebagai manusia melalui perjalanan umpama dari kiri ke kanan, seperti permainan congkak ini. Apabila kita ke depan, semua yang sudah berlalu perlu dilepaskan manakala perjalanan yang dipilih pula mesti diteruskan.

“Pada masa sama, untuk karya ini saya menggantikan buah congkak tradisional seperti guli dengan penutup cat sembur. Tujuannya untuk mengatakan, kita semua ada ‘permainan’ sendiri, namun pilihan saya, inilah - lukisan,” katanya.

Kong pula yang lebih mesra digelar Jagung berkata, lukisannya menggambarkan suka duka perjalanannya sebagai seorang artis dengan emosi digambarkan melalui penggunaan warna terang malah memberikan kesan tiga dimensi.

“Lukisan itu memang mengenai saya, pelukisnya, dan menterjemah segala kejerihan dilalui sejak empat tahun lalu untuk sampai ke peringkat ini.

“Memang pelbagai kesukaran dilalui namun saya tidak putus asa, malah sering bersemangat belajar memperbaiki dan memperhalusi bakat ini.

“Walaupun tidak berguru dengan sesiapa, saya banyak belajar dengan memerhati atau mendengar artis lain dan rakan,” kata Jagung, artis berbakat berusia 27 tahun itu.

KARYA Akid One yang dinamakan Yameen Main Congkak.
KARYA Akid One yang dinamakan Yameen Main Congkak.

Hasilnya nyata mengagumkan apatah lagi Akid One dan Jagung tidak habis-habis disapa pengunjung yang memuji karya gergasi mereka, malah dua wira cat sembur itu juga gembira melayan setiap pertanyaan diajukan.

“Pendekatan di sini terhadap seni jalanan amat berbeza, ia dilihat sebagai luahan positif. Tetapi saya juga kagum dengan kemesraan penduduk dan artis tempatan yang langsung tidak memandang kami sebagai berbeza.

“Ke mana saja kami pergi, pasti ada yang menegur walaupun sekadar mengucapkan selamat pagi,” kata Jagung.

Perkara itu dipersetujui Akid One yang juga melihat bagaimana penggunaan media sosial amat memainkan peranan untuk artis khususnya yang terbabit dalam penghasilan seni jalanan di negara Barat.

“Peminat seni tidak segan menggunakan tanda pagar seterusnya menguar-uarkan artis berkenaan di media sosial.

“Secara tidak langsung ini melonjakkan nama dan popularitinya, tetapi lebih penting lagi menjadi platform untuk orang ramai melihat bakatnya dan apa yang mampu ditawarkan,” katanya.

Puluhan artis seni jalanan tempatan dan antarabangsa menghabiskan tiga hari menghasilkan karya mereka pada tembok terpilih di Benalla itu.

Tetapi, sebelum sampai di Benalla, tidak salah singgah dulu di pekan kecil Goorambat, hanya 20 minit dari situ, apabila artis seni jalanan terkenal Melbourne Dvate menghiasi ‘silo’ yang pernah digunakan untuk menyimpan gandum dengan seni gergasi.

Acara Wall to Wall dimulakan lima tahun lalu dan kini menjadi tarikan tahunan ke Benalla setiap tahun. Malah kini ia adalah antara acara seni jalanan paling signifikan di rantau Asia Pasifik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 5:30 AM