SERAMAI 143 kanak-kanak mengikuti bengkel kesedaran alam sekitar.
SERAMAI 143 kanak-kanak mengikuti bengkel kesedaran alam sekitar.
Aniza Zainudin

MELENTUR buluh biarlah daripada rebungnya. Inilah yang dilakukan taman tema terkenal, Sunway Lost World of Tambun (LWOT) apabila menyediakan ruang kepada 143 kanak-kanak di Ipoh, Perak untuk mengikuti sesi bengkel bertemakan alam sekitar yang dianjurkan bersama Sunway University, baru-baru ini.

Sejajar dengan pelancaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), LWOT terpanggil untuk mendidik kanak-kanak berkenaan kepentingan pengurusan sisa dan pemuliharaan bagi memastikan kehidupan lestari pada masa depan.

Program yang dianjurkan di pusat Q-dees ini menekankan aktiviti secara interaktif, pendidikan dan hiburan seperti cara menguruskan sisa buang setiap hari ke dalam tong kitar semula.

Lanjutan daripada aktiviti ini, LWOT turut menempatkan satu set tong kitar semula di tiga pusat Q-dees di Ipoh, Bandar Seri Botani dan Meru bagi menggalakkan aktiviti kitar semula dalam kalangan kanak-kanak ini.

Pengurus Besarnya, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, taman tema itu secara aktif berhubung dengan pengurusan pusat berkenaan bagi memantau kemajuan kanak-kanak dalam mengamalkan tabiat kitar semula.

“Bagi mengekalkan kelestarian alam, kami sentiasa mencari idea dan kaedah baru secara konsisten untuk menjayakan sesuatu yang hebat.

“Seperti tahun ini, kami mengambil cara dengan menanamkan ilmu mengenai kepentingan memelihara alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak. Mereka adalah generasi pemimpin masa depan yang akan memperjuangkan bumi.

“Selain daripada set tong kitar semula, kami turut menyediakan papan SDG sebagai peringatan harian untuk anak ini terus memelihara bumi dan alam sekitar.

“Bagi menggapai misi ini, kita tidak boleh mendapat hasil yang cepat, tetapi kita yakin langkah kecil ini boleh meraih matlamat besar.

“Dalam usaha untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, semua penyedut minuman plastik akan diharamkan secara rasmi dari taman tema ini dengan serta-merta,” katanya.

Katanya, lebih banyak inisiatif SDG bakal dilaksanakan LWOT pada masa akan datang dengan pembabitan masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 9:13 AM