CHAI (tengah) melancarkan program KITARecycle.
CHAI (tengah) melancarkan program KITARecycle.
HM Digital

PENCEMARAN alam sekitar semakin menjadi kebimbangan global dan jika tidak diatasi, ia boleh menimbulkan pelbagai isu yang memudaratkan.

Untuk itu, kanak-kanak juga perlu didedahkan dengan usaha pemeliharaan alam sekitar bagi meningkatkan kesedaran sejak kecil.

Sedar kepentingan itu, IJM Land Berhad (IJM Land) bersama SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengadakan program KITARecycle di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Tung Hua, Seremban 2, Negeri Sembilan.

Dengan misi menyediakan persekitaran hidup lebih hijau dan kondusif untuk semua, program itu disertai 1,028 pelajar sekolah berkenaan.

Sebelum itu, pelajar sekolah terbabit turut melengkapkan tugasan untuk dua pertandingan: Projek Seni Kitar Semula (pertandingan individu) dan Kempen Wira Kitar Semula (pertandingan kelas).

Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad, Chai Kian Soon berkata, pihaknya mahu membantu menyemai tabiat kitar semula dalam kalangan masyarakat dengan memastikan semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk memelihara persekitaran supaya menjadi lebih hijau.

"Kami ingin menekankan tabiat kitar semula di sekolah bagi memastikan generasi muda memahami kesan pembuangan sisa yang tidak betul dan menggalakkan penyertaan mereka dalam kempen berkenaan.

"Harapan kami adalah untuk membawa perubahan positif kepada alam semula jadi dengan pembabitan komuniti di sini," katanya yang turut menyerahkan tong kitar semula kepada sekolah terbabit untuk memupuk amalan kelestarian dalam kalangan pelajar.

Pada program yang sama, pihak SWM Environment turut mengadakan ceramah kesedaran alam sekitar untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar mengenai pengitaran semula dan pengurusan sisa dengan betul.

Selain menggalakkan 3R (reduce, reuse, recycle) dalam kalangan pelajar sekolah, inisiatif itu juga diharap dapat mengaplikasikan tabiat kitar semula dalam kehidupan penduduk di kawasan perbandaran berkenaan.

Syarikat pemaju itu turut menyumbangkan 14 'rumah KITARecycle' yang dibuat khas sebagai tong kitar semula di kawasan perumahan berpagar dan berpengawal di Seremban 2, Persatuan Penduduk Serena dan Safiya serta Pearl 132.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 6:40 AM