ANTARA kemeriahan permainan tradisional ditawarkan.
ANTARA kemeriahan permainan tradisional ditawarkan.
Zaitie Satibi


DALAM kemeriahan menyambut Syawal dan cuti sekolah, taman tema air popular Sunway Lost World Of Tambun (LWOT) menganjurkan pesta Malaysia First Lah yang membolehkan pengunjung menikmati kepelbagaian dalam adat dan budaya Melayu.

Pesta yang berlangsung sehingga 9 Jun ini mengetengahkan pelbagai aktiviti mengujakan termasuk permainan tradisional seperti bermain papan congkak gergasi dan teng teng ular.

LWOT juga menjanjikan keceriaan berterusan menerusi sesi ramah mesra bersama Humalaya Malayana dan parti kolam Awesome Raya Pool sepanjang perayaan berlangsung.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, permainan dan sukaneka adalah cara yang unik untuk menyatukan semua orang dan pada masa sama dapat mengukuhkan ikatan antara keluarga serta rakan.

“Oleh sebab itu, kami menjadikan permainan dan sukaneka sebagai sebahagian besar pesta ini. Pengunjung boleh meraikan detik indah dengan permainan tradisional Melayu bersama keluarga dan rakan.

“Ia pasti menjadi satu kenangan istimewa kepada pengunjung bagi merapatkan yang lama dan generasi baru apabila ibu bapa akan menceritakan kepada anak mereka berkenaan permainan lama yang pernah dimainkan tetapi kini semakin dilupakan,” katanya.

Katanya, pada masa sama pengunjung juga boleh menikmati juadah istimewa kaum Melayu di Dulang Tea House yang menawarkan makanan kegemaran rakyat Malaysia seperti rendang tok, rendang ayam, ketupat, lemang, nasi impit, gulai tempoyak ikan patin dan aneka kuih-muih.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita kadang-kadang leka dengan pelbagai warisan yang masih dapat dinikmati. Warisan kita adalah sesuatu yang unik dan ia tidak boleh ditemui di mana-mana. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mengekalkan dan melindungi warisan ini.

“Musim perayaan dan cuti sekolah adalah peluang terbaik LWOT menganjurkan pesta seumpama ini yang dapat mengembalikan semula warisan kita untuk tatapan generasi baru,” katanya.

Sempena pesta Malaysia First Lah, LWOT turut menawarkan harga tiket istimewa dengan potongan 50 peratus untuk pembelian dalam talian kepada dewasa dan kanak-kanak bagi membolehkan lebih ramai dapat menikmati kemeriahan ditawarkan dalam teman tema air itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 9:06 AM