PENTERNAKAN udang kara air tawar Jeram Lobster di Jeram, Selangor.
PENTERNAKAN udang kara air tawar Jeram Lobster di Jeram, Selangor.
Zaitie Satibi

WARNANYA yang cantik, unik dengan hijau kebiru-biruan dan berbintik putih di bahagian kepala, malah ada berwarna hitam kemerahan, ungu, coklat serta jingga membuatkan orang yang melihatnya tertarik lagi terpesona.

Itulah antara keistimewaan udang kara air tawar yang sering dijadikan hiasan akuarium juga menjadi sebahagian menu eksotik di restoran makanan laut.

Sajian udang kara ini pasti memikat selera, tetapi disebabkan harganya agak mahal ia dianggap hidangan mewah dan makanan eksklusif di hotel atau restoran ternama.

Bagaimanapun, udang kara air tawar ataupun ‘crayfish’ ini menjadi antara hidupan ternakan air tawar paling popular di Malaysia sejak akhir-akhir ini. Malah, spesies udang yang dahulunya dianggap makanan untuk golongan VIP kini boleh dinikmati sesiapa saja.

Permintaan udang kara air tawar yang sentiasa tinggi seterusnya merangsang seorang belia dari Jeram, Selangor mengusahakan ternakan udang berkenaan daripada jenis ‘red claw’ (sepit merah) sejak setahun lalu. Menggunakan modal daripada simpanan sendiri, Tengku Muhammad Azrul Ariff Che Engku Chik, tidak teragak-agak mengasaskan Jeram Lobster, kini menjadi pengusaha terbesar di Selangor dan kedua terbesar di Malaysia.

ORANG ramai melawat kolam ternakan udang kara air tawar.
ORANG ramai melawat kolam ternakan udang kara air tawar.

Tengku Muhammad Azrul Ariff, 30, berkata, permintaan terhadap udang kara air tawar semakin meningkat disebabkan kesukaran pembekal mendapatkan udang kara atau spesies air masin (laut) dan ini menyebabkan selera peminat udang kara bertukar kepada spesies air tawar.

“Penternakan udang kara air tawar ini saya usahakan bersama ayah dan abang di tanah sendiri seluas kira-kira 2.4 hektar di Kampung Jeram sejak Mac tahun lalu. Minat untuk menternak spesies udang ini timbul selepas melawat kolam ternakan udang kara air tawar yang diusahakan bapa saudara di Kelantan.

“Bapa saudara sudah menjalankan ternakan udang kara air tawar sejak lima tahun lalu untuk pasaran setempat. Selepas dikaji, saya dapati permintaan terhadap udang ini amat tinggi, malah pasarannya juga luas menyebabkan saya ingin mencuba bidang ini,” katanya yang bekerja di firma perakaunan.

UDANG kara diternak dalam kolam simen air tenang.
UDANG kara diternak dalam kolam simen air tenang.

Katanya, udang kara air tawar diternak dalam 28 kolam berbeza terdiri kolam tanah, kolam simen dan tangki plastik polyethylene bagi menghasilkan udang mengikut permintaan pelanggan. Selain dihantar ke restoran, udang berkenaan turut dibekalkan kepada penternak dan peraih.

Beliau mendapatkan kira-kira 10,000 benih udang kara air tawar ini daripada kolam penternakan bapa saudaranya itu dengan saiz berukuran lima hingga tujuh sentimeter (sm) sebelum dipasarkan kali pertama pada penghujung September tahun lalu.

“Udang kara air tawar ini akan dijual selepas tumbesarannya mencapai kira-kira 15sm dan ini adalah saiz biasa yang mendapat permintaan pelanggan walaupun ia boleh mencecah saiz matang sehingga melebihi 30sm.

“Pada peringkat awal, saya ternak udang kara air tawar ini dalam kolam simen dan tangki plastik tetapi tumbesarannya bertambah kira 2.5sm sebulan serta perlu menunggu selama enam bulan untuk mencapai saiz ideal.

UDANG kara air tawar diternak Tengku Muhammad Azrul semakin mendapat permintaan tinggi.
UDANG kara air tawar diternak Tengku Muhammad Azrul semakin mendapat permintaan tinggi.

“Kemudian saya ternak dalam kolam tanah dan menerusi cara ini udang kara air tawar membesar dengan cepat serta memerlukan hanya empat bulan setengah untuk mendapat saiz dikehendaki,” katanya yang turut membiak sendiri benih udang berkenaan.

Udang kara air tawar jenis ‘red claw’ yang diternaknya ini dikatakan spesies paling senang dan berpotensi diternak. Walaupun saiznya lebih kecil berbanding udang kara laut, isinya mendapat permintaan tinggi kerana dikatakan lebih manis dan enak. Malah, ia mempunyai kandungan kolesterol yang sangat rendah, tetapi tinggi protein.

Kaedah ternakan sepit merah ini juga tidak terlalu rumit, di samping kosnya sangat rendah. Penternak hanya perlukan oksigen dan penapis pam air bagi mengekalkan air dalam tangki atau kolam sentiasa bersih daripada ammonia yang tinggi dengan kualiti air sekitar kadar keasidan (pH) 7 dan suhu antara 28 hingga 34 darjah Celsius.

Udang kara air tawar ini juga disifatkan sebagai tahan lasak kerana terhindar daripada penyakit yang berbahaya dan tidak akan menjangkiti udang lain jika ada seekor yang terkena penyakit seperti kulit melepuh. Malah, kadar kematiannya juga rendah berbanding spesies lain.

“Udang ini juga akan memakan apa saja, lazimnya saya beri makan palet udang, potongan ikan mentah, kepala ikan bilis dan ubi. Malah, udang kara air tawar juga melakukan proses penukaran kulit cengkerang untuk membesar dan ia akan memakan semula kulit cengkerang yang tertanggal itu bagi mendapatkan nutrien.

“Ia juga tidak boleh diternak dalam jumlah yang banyak pada satu-satu kolam. Biasanya, saya akan meletakkan kira-kira 100 ekor untuk kolam simen, manakala 50 ekor untuk tangki plastik. Ini bagi mewujudkan keselesaan ruang untuk udang itu membesar, selain mengelakkan ia makan sesama sendiri ketika dalam proses bertukar kulit.

“Udang jenis ini juga sebenarnya sukakan kawasan yang teduh dan air yang tenang. Ia suka bersembunyi dan saya meletakkan paip PVC sebagai tempatnya berlindung. Sebab itu, udang kara air tawar sesuai diternak di rumah atau dalam bangunan,” katanya yang memasarkan udang kara air tawar ternakannya ke sekitar Selangor dan ibu negara.

INDUK betina mampu bertelur sehingga 1,500 ekor anak setiap kali bertelur.
INDUK betina mampu bertelur sehingga 1,500 ekor anak setiap kali bertelur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 3:58 PM