MAZLI menunjukkan ikan keli yang diusahakan di kolam ternakan miliknya di Kampung Simpang 5, Sungai Besar.
MAZLI menunjukkan ikan keli yang diusahakan di kolam ternakan miliknya di Kampung Simpang 5, Sungai Besar.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mazli Mashudi pernah merantau selama dua tahun ke Australia antaranya bekerja dalam bidang perbankan, tetapi memilih untuk mengusahakan ternakan ikan keli apabila kembali ke tanah air.

Meskipun bermandikan keringat, Mazli, 39, berasa puas dengan hasil perniagaan ikan keli yang diusahakannya di atas tanah seluas kira-kira empat hektar di Kampung Simpang 5, Sungai Besar, Selangor.

Bapa kepada lima cahaya mata ini juga pernah berniaga ikan dan ayam di Pasar Borong Selayang sebelum membuat keputusan untuk menternak ikan keli pada 2016.

"Ibu saya Fauziah Jaafar, 66, dan bapa Mashudi Wahid, 70, (sudah meninggal dunia) pun pernah mengusahakan ternakan udang air masin pada 2012. Saya tak banyak bantu kerana masih bersekolah dan kemudian tinggal di asrama. Penat lelah emak dan ayah adalah inspirasi saya untuk menceburi bidang ternakan.

"Saya memilih untuk ternakan ikan keli berbanding ternakan lain kerana ikan keli senang diternak dan mudah dipasarkan. Ternakan ikan keli mampu pergi jauh disebabkan orang kita (Melayu Islam) yang ternak selain memperoleh permintaan sangat tinggi," katanya yang pernah bekerja di Dianella, Perth, Australia dalam ternakan ladang, baru-baru ini.

 LAWATAN peserta kursus ke kolam ikan air tawar Mazli  di Kampung Simpang 5, Sungai Besar.
LAWATAN peserta kursus ke kolam ikan air tawar Mazli di Kampung Simpang 5, Sungai Besar.

Mazli memulakan penternakan ikan keli dengan modal sebanyak RM50,000 dan daripada jumlah itu, RM20,000 daripada ibu dan bapanya.

Tanah yang digunakan untuk membuat kolam ikan adalah tanah persendirian di kampung itu, selain Mazli turut mewarisi semangat berniaga serta pengalaman ibu bapanya dalam bidang ternakan.

Menurut Mazli, berbanding ternakan lain, perniagaan ikan air tawar sangat berbaloi kerana menerusi usaha berkenaan banyak cambahan peluang untuk menambah pendapatan.

Setakat ini, katanya, kolamnya mampu mengeluarkan 100 kilogram ikan keli sehari dengan anggaran 3,000 kilogram ikan keli dewasa sebulan serta 80,000 ekor keli yang bersaiz 12.7 sentimeter (sm) dalam tempoh sebulan.

"Harga jualan bagi ikan keli yang matang adalah RM8.50 sekilogram, manakala untuk ikan saiz 12.7 sm dijual 50 sen seekor," katanya yang memperoleh jualan kasar RM65,000 sebulan.

Menurut Mazli, hasil ternakannya akan dipasarkan kepada pelanggan dengan pelbagai cara iaitu selain datang terus ke kolam ternakannya, dia turut menjual secara dalam talian.

Berkongsi cara ternakan keli, Mazli berkata, perkara asas semestinya kawasan ternakan, jenis kolam, sumber air, benih ikan, makanan ikan, penjagaan ikan serta prospek pasaran.

"Dalam bidang ini, untung rugi adalah bergantung kepada cara kita ternak. Saya kongsikan apa yang saya sudah jalankan di dalam lima kolam simen dan kanvas. Sehingga kini, kami sudah menuai hasil ternakan ikan keli sebanyak 22 kali.

 SEBAHAGIAN  ternakan ikan keli diusahakan Mazli  di Kampung Simpang 5, Sungai Besar.
SEBAHAGIAN ternakan ikan keli diusahakan Mazli di Kampung Simpang 5, Sungai Besar.

Mengendalikan sendiri kursus ternakan, Mazli berkata, dia teruja apabila ilmu dimilikinya dikongsi bersama mereka yang ingin menambah pendapatan dan membuka peluang melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang ternakan ikan keli berdasarkan potensi perniagaan itu.

Setakat ini, dia menganjurkan 20 kali kursus ternakan ikan air tawar untuk orang awam serta 27 kali kepada mereka yang datang secara berkumpulan.

Bagi mereka yang ingin menceburi bidang ternakan, Mazli mempunyai beberapa nasihat dan ia mesti dimulai dengan minat terlebih dahulu.

"Nasihat saya untuk mereka yang mahu jadikan bidang ternakan sebagai sumber mata pencarian perlu tanam minat terlebih dahulu dan baharulah mengorak langkah.

"Jangan bermula dengan bilangan yang besar sebab hendak jaga benda hidup ini perlukan lebih pengalaman berbanding kelayakan sijil.

"Tidak perlu fokus pada jualan borong sebab kerja lebih banyak, tetapi untung sedikit. Nampak hebat tetapi sebenarnya untung nipis. Jangan sedih kalau ikan mati, sebaiknya cari kaedah paling sesuai untuk ternak ikan di tempat sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 7:30 AM