KELUARGA Arman yang gemarkan aktiviti lasak.
KELUARGA Arman yang gemarkan aktiviti lasak.
Hafiz Ithnin

Pernah mendapat serangan jantung pada usia 30 tahun dan mempunyai berat sehingga 90 kilogram sememangnya menjadi mimpi ngeri buat bapa kepada lima orang anak ini.

Menyedari gaya hidup sihat menjadi kunci kepada kelangsungan kesihatannya, Arman Arshad, 40, kini bukan sahaja aktif dalam aktiviti larian lasak dalam kategori ultra maraton (larian maraton melebihi 40 kilometer) dan ‘ultra trail’ (larian denai melebihi 40 kilometer) malah ia turut membabitkan ahli keluarganya.

Isterinya, Suzie Ganis, 37, dan anaknya, Aaron, 18; Adam 15; Aida, 12 dan Aiesha, 6, menjadi pendorong semangatnya untuk meneruskan gaya hidup aktif kerana mereka juga sudah mula ikut berlari! Hanya yang bongsu, Ameena, lima bulan menjadi pemerhati.

Arman berkata, larian yang dilakukan secara santai untuk menjaga kesihatannya pada masa dahulu kini menjadi satu aktiviti yang digemari mereka seisi keluarga.

Beliau berkata, anak keempatnya, Aiesha sudah menunjukkan minat untuk menyertai aktiviti larian denai sejak berusia dua tahun lagi. Malah, lebih membanggakan dalam setiap kejohanan larian dalam kategori kanak-kanak, Aiesha pasti berada di atas podium.

AIESHA (kanan) sentiasa berada dalam kedudukan terbaik dalam kejohanan larian.
AIESHA (kanan) sentiasa berada dalam kedudukan terbaik dalam kejohanan larian.

“Saya tidak pernah meletakkan aktiviti ini sebagai perkara wajib diikuti isteri dan anak-anak tetapi mereka menunjukkan rasa gembira dan senang setiap kali berlatih untuk larian atau mendaki gunung.

“Lama kelamaan, mereka menunjukkan minat untuk menyertai kejohanan bagi melihat prestasi dan mencabar diri masing-masing dalam acara larian jarak jauh,” katanya.

Arman berkata, jika tiada program sekolah, anak-anaknya akan mengikutinya berlatih di kawasan Bukit Broga (Selangor), Gunung Datuk dan Angsi (Negeri Sembilan). Bahkan, Aiesha menjadi pengiring setianya setiap kali berlatih.

“Pada cuti persekolahan yang panjang, saya lebih gemar membawa mereka mendaki gunung yang memerlukan kami bermalam. Anak-anak memang teruja dan tidak sabar menunggu cuti sekolah.

“Aktiviti mendaki dan berkhemah dapat mengeratkan hubungan kami sekeluarga untuk lebih menjalani hidup sihat dan sentiasa membantu ketika mendaki dalam kumpulan,” katanya.

Arman berkata, meskipun anak-anaknya aktif dalam acara larian tetapi mereka tidak pernah mengabaikan bidang akademik dan ia perkara yang amat dititikberatkan.

AKTIVITI berenang menjadi pengisi waktu santai.
AKTIVITI berenang menjadi pengisi waktu santai.

“Setakat ini, anak-anak menunjukkan prestasi akademik yang baik dan saya sentiasa ingatkan mereka untuk terus fokus di bilik darjah meskipun semuanya mempunyai bakat dalam larian jarak jauh.

“Bagaimanapun, mereka tidak menjadi atlet sekolah kerana anak-anak saya lebih berminat menyertai acara larian denai dan jarak jauh yang tidak ditawarkan dalam kejohanan sukan di sekolah masing-masing,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, anak sulungnya Aaron pernah menjadi pelari ultra termuda negara dengan menyertai larian sejauh 70 kilometer. Manakala Adam dan Aida menunjukkan minat dalam larian denai serta sering menduduki tempat di podium dalam pelbagai kejohanan di dalam negara.

“Saya dan isteri juga adalah pengarah acara larian ultra dan kegiatan kami dalam bidang ini juga memberi peluang kepada anak-anak untuk menyertai aktiviti larian jarak jauh,” katanya.

ARMAN (tengah) sentiasa menyokong aktiviti lasak anak-anaknya.
ARMAN (tengah) sentiasa menyokong aktiviti lasak anak-anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 1:57 PM