AKTIVITI menyelam skuba membantu Firdaus dan isteri saling menerokai kemahiran dalam aktiviti berkenaan.
AKTIVITI menyelam skuba membantu Firdaus dan isteri saling menerokai kemahiran dalam aktiviti berkenaan.
Hafiz Ithnin

TATKALA ramai yang beriadah melakukan aktiviti di darat seperti mendaki dan menyertai larian denai, bagi mereka berdua alam marin menyajikan keindahan luar biasa untuk seisi keluarga menikmatinya.

Malah, pasangan suami isteri ini juga bukan penyelam skuba biasa kerana kedua-duanya mempunyai lesen menyelam tertinggi dalam aktiviti itu yang mana suaminya adalah pengarah kursus dan isterinya baru sahaja menamatkan kursus sebagai tenaga pengajar.

Muhammad Firdaus Zolkefli, 37, dan isterinya, Jumiliana Ismail, 35, awalnya hanya melakukan aktiviti skuba bagi mengisi waktu lapang bersama keluarga tetapi semakin lama itu, minat untuk mempunyai lesen lebih tinggi dan kini berjaya memilikinya.

FIRDAUS dan Jumiliana aktif menyelam skuba di dalam dan luar negara.
FIRDAUS dan Jumiliana aktif menyelam skuba di dalam dan luar negara.

Firdaus berkata, dia mula aktif dalam aktiviti itu sejak 2009 tidak menyangka dalam diam isterinya turut berminat menyelam skuba dan setahun selepas dia memiliki lesen ‘open water’ (lesen menyelam sehingga 18 meter), Jumiliana mengikut jejak langkahnya.

Katanya, bermula dengan lesen berkenaan, secara berperingkat dia memiliki lesen skuba lebih tinggi dan mampu mengajar isterinya untuk mendapatkan lesen selaman hingga ke peringkat tenaga pengajar awal tahun lalu.

“Aktiviti yang kami lakukan ini sememangnya seronok untuk mengisi waktu santai seisi keluarga dan pada masa sama, ia juga menambah ekonomi keluarga kerana kami sudah mempunyai kelayakan mengajar.

“Memandangkan saya dan isteri boleh mengajar, pada 2013 kami berdua mengambil keputusan menubuhkan syarikat menyelam skuba sendiri iaitu P44irateScuba yang sudah mengajar hampir 1,000 orang untuk mendapatkan pelbagai jenis lesen menyelam skuba rekreasi,” katanya mendapat pengiktirafan Scuba Diving International sebagai tenaga pengajar yang paling banyak melahirkan penyelam skuba pada 2017 di Malaysia.

Firdaus berkata, syarikatnya mendapat sambutan baik daripada peminat aktiviti itu kerana bakal pelajar terutamanya wanita Muslim boleh memilih isterinya sebagai pengajar kerana mudah untuk mengendalikan aktiviti berkenaan dengan lebih selesa.

FIRDAUS bersama keluarganya yang mempunyai minat menerokai dunia marin melalui aktiviti menyelam skuba.
FIRDAUS bersama keluarganya yang mempunyai minat menerokai dunia marin melalui aktiviti menyelam skuba.

Tambahnya, mereka berdua juga tidak sahaja memiliki pengalaman menyelam skuba di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia malah sentiasa mencari peluang untuk menerokai dunia marin di luar negara seperti di Indonesia, Filipina dan Australia.

“Walaupun jadual kami padat setiap minggu untuk pelajar baru, kami sentiasa memperuntukkan masa menyelam skuba bersama-sama, sama ada di Malaysia atau luar negara sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

“Jika tiada pelajar, kami menyelam sambil merakam gambar hidupan marin mikro kerana kami mempunyai kamera yang mampu mengambil gambar hidupan itu. Ia mempunyai keseronokan tersendiri apatah lagi jika dapat merakam hidupan mikro yang jarang ditemui,” katanya.

Minat pasangan serasi itu juga memberi kesan kepada tiga puteri mereka iaitu Adryana Aleesa, 13, Adryana Afrina , 10, dan Adryana Aneesa , 5. Kini anak sulungnya sudah memiliki lesen ‘junior advance diver’ (lesen menyelam sehingga 18 meter) baru-baru ini.

Malah Afrina menunggu ketibaan hari lahirnya pada 5 Julai ini untuk melayakkannya memiliki lesen ‘open water’ kerana syarat memiliki lesen berkenaan bermula pada usia 10 tahun.

Katanya, dia dan isteri sentiasa memberi galakan kepada anak-anak melakukan aktiviti rekreasi itu kerana memberi kesan yang baik kepada gaya hidup dan sebagai kemahiran untuk menambah pendapatan pada masa depan.

PENGIKTIRAFAN yang diterima Firdaus dalam mengendalikan aktiviti menyelam skuba.
PENGIKTIRAFAN yang diterima Firdaus dalam mengendalikan aktiviti menyelam skuba.

“Sebagai ibu bapa, kami tidak pernah memaksa anak-anak menyertai aktiviti ini tetapi minat mereka bercambah kerana tahu selam skuba mempunyai keseronokan tersendiri terutama melihat hidupan marin secara dekat apabila kita berada di dalam air.

“Memandangkan kami berdua mempunyai kepakaran mengajar aktiviti ini, menjadi kelebihan untuk anak-anak menyertainya dan mereka sentiasa seronok apabila menyelam bersama saya dan isteri. Aktiviti ini sememangnya mengeratkan hubungan kami sekeluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 10:45 AM