KEMAHIRAN ikhtiar hidup di hutan tropika yang sememangnya berbeza dan mempunyai cabaran yang tersendiri.
KEMAHIRAN ikhtiar hidup di hutan tropika yang sememangnya berbeza dan mempunyai cabaran yang tersendiri.
Hafiz Ithnin

'Terperangkap' di dalam hutan hingga ditemui, bekalan makanan terhad, apatah lagi sukar untuk menghubungi dunia luar sememangnya menjadi pengalaman ngeri dalam kalangan pendaki.

Kebarangkalian ia berlaku dalam kalangan pendaki atau pengembara hakikatnya tidak boleh dinafikan biarpun sudah bersiap sedia mengikuti pelbagai panduan, kejadian sesat atau terputus hubungan dengan rakan lain tetap berlaku.

Buktinya jelas dapat dilihat apabila kes kehilangan pendaki sering kali dilaporkan. Malah, terdapat juga kawasan pendakian yang boleh dikatakan sudah komersial dan sering menjadi tumpuan pengunjung masih mencatatkan rekod kehilangan pendaki.

Bagaimanapun, sebagai pendaki ilmu pendakian sangat memainkan peranan penting terutama berkaitan kemahiran untuk kelangsungan hidup sekiranya berlaku tragedi itu kepada diri sendiri.

Baru-baru ini, Nuansa berkesempatan menyertai aktiviti ikhtiar hidup anjuran Finger Rich Adventures & Discovery yang bekerjasama dengan Pendekar Rimba di Hutan Lipur Sungai Congkak, Selangor selama empat hari tiga malam.

PESERTA fokus mempelajari cara mencari kordinat peta.
PESERTA fokus mempelajari cara mencari kordinat peta.

Mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai komando tentera darat, Pendekar Rimba berkongsi pelbagai kemahiran yang boleh dipraktikkan 17 peserta program ikhtiar hidup bagi membolehkan mereka terus bertahan di dalam hutan sekiranya sesat.

Semua peserta program berkenaan terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan profesional yang mempunyai minat dalam aktiviti pendakian. Peserta diberi pendedahan dari segi mengenali tumbuh-tumbuhan hutan yang boleh dimakan, haiwan alternatif untuk dijadikan makanan sekiranya dalam keadaan darurat, menghidupkan api secara primitif dan membina pondok sementara.

CABARAN bagi peserta yang perlu menghidupkan api secara primitif.
CABARAN bagi peserta yang perlu menghidupkan api secara primitif.

Tidak ketinggalan, peserta juga diberi pendedahan berkenaan cara membaca kompas, mengenal pasti koordinat bersandarkan peta, menyediakan bekalan ubat-ubatan sebagai persediaan masuk ke hutan dan membuat panggilan keselamatan (SOS) menggunakan asap.

Bagi merasai suasana sebenar, dalam tempoh sehari peserta hanya dibenarkan membawa sebilah parang saja dan semua makanan tidak dibenarkan untuk dibawa bersama.

KERJASAMA antara peserta amat penting dalam aktiviti ikhtiar hidup.
KERJASAMA antara peserta amat penting dalam aktiviti ikhtiar hidup.

Dalam senario sebegitu, peserta perlu menghidupkan api secara primitif menggunakan salah satu kaedah yang diajar jurulatih antaranya menggeselkan rotan dengan kayu untuk menghasilkan bara kecil atau dikenali sebagai 'fire thong.'

Mereka juga perlu membuat pondok sementara menggunakan daun lebar yang sesuai untuk dijadikan atap, mencari akar yang sesuai untuk dijadikan tali dan batang pokok yang boleh dijadikan tiang.

 PONDOK sementara yang dibina menggunakan sumber alam
PONDOK sementara yang dibina menggunakan sumber alam

Selain itu, dari segi makanan terdapat banyak tumbuh-tumbuhan selamat dimakan seperti umbut daripada pokok enau, nibong dan pisang hutan yang boleh didapati di kawasan tertentu.

Dari segi haiwan, peserta juga didedahkan berkenaan beberapa hidupan di dalam sungai yang sesuai untuk dimakan seperti siput dan ikan. Tidak ketinggalan, jika berada di dalam keadaan darurat, jenis katak dan kodok yang selamat dimakan juga ditunjukkan kepada peserta selain cara menyiang haiwan berkenaan.

TEKNIK SOS yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan.
TEKNIK SOS yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan.

Pengasas Finger Rich Adventures & Discovery, Siti Zaleha berkata, program ikhtiar hidup yang dilaksanakan pihaknya bersama Pendekar Rimba mampu membantu golongan pendaki untuk menimba ilmu dalam ikhtiar hidup.

“Program ini adalah kali pertama kami adakan berbanding Pendekar Rimba yang sudah beberapa kali mengadakannya namun tidak sepanjang tempoh latihan pada kali ini iaitu selama empat hari tiga malam.

KATAK liar sungai yang selamat dimakan sekiranya tersesat di dalam hutan.
KATAK liar sungai yang selamat dimakan sekiranya tersesat di dalam hutan.

“Kami akan mengadakan program ini sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga bulan dan bergantung kepada permintaan orang ramai. Penyertaan dibuka kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Jurulatih Pendekar Rimba, Mohd Sofian Empatie berkata, pengalamannya bersama rakan bekas komando yang lain boleh memberi manfaat kepada orang ramai terutama pendaki mempelajari beberapa kemahiran ikhtiar hidup berguna di dalam hutan.

MEMBUAT alat memburu daripada sumber alam turut dipelajari.
MEMBUAT alat memburu daripada sumber alam turut dipelajari.

“Sebelum ini, program yang kami adakan hanya dalam tempoh sehari untuk satu kemahiran saja seperti menghidupkan api secara primitif. Tetapi menerusi kerjasama dengan Finger Rich Adventures & Discovery untuk mengadakannya dalam tempoh lebih lama sememangnya lebih banyak perkongsian yang dapat dilakukan,” katanya.

Melihat kepada program ikhtiar hidup itu, sudah semestinya membawa dimensi baru dalam aktiviti pendidikan kegiatan luar yang biasanya peserta didedahkan dengan kegiatan membangunkan khemah moden dan lebih ke arah motivasi.

MENCARI arah menggunakan kompas secara manual.
MENCARI arah menggunakan kompas secara manual.

Berbeza dengan program ini, ia membawa peserta kepada dunia ikhtiar hidup yang sebenar walaupun hanya tempoh sehari tidak dibenarkan untuk membawa makanan peribadi dan ia antara senario realiti jika tersesat di dalam hutan.

MEMASAK makanan menggunakan buluh.
MEMASAK makanan menggunakan buluh.

Secara tidak langsung menjadikan setiap peserta lebih bijak mencari makanan, melindungi diri dan cara untuk menarik perhatian pasukan penyelamat sekiranya sesat di dalam hutan.

Ia juga salah satu aktiviti yang boleh menarik kehadiran pelancong asing untuk mempelajari kemahiran ikhtiar hidup di hutan tropika yang sememangnya berbeza dan mempunyai cabaran yang tersendiri.

PIHAK penganjur dan peserta bergambar selepas menamatkan program.
PIHAK penganjur dan peserta bergambar selepas menamatkan program.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 10:45 AM