Hafiz Ithnin

Saujana mata memandang puncak gunung tersergam indah dari kawasan perkampungan yang menjadi titik permulaan ekspedisi pendakian kali ini disertai tiga kumpulan berbeza mewakili dua negara mempunyai susur galur keturunan paling terdekat di rantau ini.

Minat mendalam ketiga-tiga kumpulan itu terhadap dunia pergunungan, membawa satu misi yang dapat memberi kesan positif kepada semua pihak sebaik kembali ke negara masing-masing.

Dua kumpulan yang berasal dari Malaysia iaitu persatuan pendaki yang aktif dalam aktiviti amal, Uniquevarcity Of Hikers (UOH) dan Kelab Sukarela Mesilau (MEVOC) terdiri daripada kakitangan Taman Negara Sabah. Selain berpengalaman sebagai malim Kinabalu dan menjadi nadi penting ketika berlaku tragedi gempa bumi di gunung terbabit pada 2015 iaitu anggota sokongan penyelamat.

Memilih ekspedisi pendakian sambil beramal di Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia, kedua-dua entiti tempatan itu memilih bekerjasama dengan syarikat pendakian terkenal di lokasi berkenaan, Rudy Trekker yang mempunyai ramai kakitangan dalam kalangan penunjuk arah serta pembawa barangan pendaki atau dikenali sebagai porter.

Mengambil masa sekitar tiga jam menuju ke destinasi hari pertama itu sememangnya sudah dijangka melepasi waktu ‘terang’ dan kali pertama berjumpa dengan Rudy, kami tidak menyangka dia pemilik syarikat itu.

Direncanakan, pada esoknya kami semua memulakan pendakian melewati pintu masuk Sembalun dan keseluruhan tempoh pendakian mengambil masa selama tiga hari dua malam.

Meskipun masih pekat berlidah Indonesia, penerangan berkenaan aktiviti sepanjang kami berada di dalam ekspedisi itu diterangkan Rudy sendiri dengan jelas menggunakan bahasa Inggeris.

Soalan demi soalan ditanyakan ahli MEVOC yang diketuai presidennya Jumaidi Lasim dan turut serta Presiden dan Pengasas UOH Albert Koh Ter Yih yang mewakili 15 peserta pendaki dari kedua-dua entiti itu.

LALUAN menegak yang menjadi cabaran kepada pendaki.
LALUAN menegak yang menjadi cabaran kepada pendaki.

Bermalam di resort milik Rudy, seperti tidak mahu bangkit untuk memulakan pendakian seawal jam 7 pagi keesokannya kerana tidak pernah dalam pengalaman penulis sebagai seorang pendaki merasai kemudahan penginapan begitu selesa.

Aktiviti pendakian bermula melalui Pintu Masuk Senaru Taman Nasional Gunung Rinjani dihidangkan laluan berakar, berbukit dan melewati beberapa pos terasa sejuk dengan hembusan angin yang menembusi celahan pokok di sepanjang perjalanan.

Sekiranya berhenti untuk berehat, pasti tidak akan ketinggalan untuk menyarung jaket bagi mengelak kedinginan ketika menunggu rakan yang lain.

Ketika makan tengah hari dihidangkan di Pos Tiga sekitar jam 12 tengah hari, peserta pendakian begitu kagum dengan layanan dan hidangan yang disediakan kru ekspedisi daripada Rudy kerana tak ubah seperti makan di restoran Barat! Siap sekali dengan kerusi serta mejanya!

Usai mengisi perut dengan layanan istimewa, Pelawangan menjadi destinasi seterusnya yang mengambil masa sekitar lima jam pendakian. Ternyata selepas makan tengah hari itu laluannya semakin mencabar apabila sedikit demi sedikit ia mencanak atau dalam kalangan pendaki tanpa ada diskaun mencanaknya! Apatah lagi kawasan berbatu besar menjadi peneman ke sana.

Pelawangan pada sebelah malam sememangnya menjanjikan rasa dingin yang sukar untuk digambarkan kerana ia terletak di kawasan permatang luas dan terbuka menjadi laluan angin, apatah lagi kedudukannya melebihi 2,500 meter dari aras laut.

PEMANDANGAN menarik dari Pelawangan.
PEMANDANGAN menarik dari Pelawangan.

Misi penting keesokan harinya menuju ke Segara Anak yang terletak di bawah Pelawangan iaitu kawasan tasik hijau yang menjadi tarikan serta nadi utama di Lombok kerana keunikan sebuah gunung berapi kecil yang wujud di tengah-tengah tasik.

Menuju turun ke Segara Anak dari Pelawangan penuh berhati-hati kerana berbatu curam, sempit dan terdapat laluan bertanah kering yang mampu membuatkan pendaki mudah tergelincir.

Hanya sekitar dua jam perlu ke Segara Anak, ternyata pemandangan tasik hijau yang luas dari Pelawangan malam tadi kini di depan mata semua pendaki.

PESERTA perlu melalui kawasan tebing berbatu tasik untuk menuju ke tapak perkhemahan di Segara Anak.
PESERTA perlu melalui kawasan tebing berbatu tasik untuk menuju ke tapak perkhemahan di Segara Anak.

Lokasi itu sememangnya menjadi destinasi perkhemahan kebanyakan pendaki kerana terdapat pelbagai tarikan seperti kolam air panas dan bagi mereka yang gemar memancing ia juga menjadi tempat untuk mengail ikan liar yang boleh dijadikan santapan.

Bagaimanapun, pemandangan cantik dari atas tidak menggambarkan keindahan sebenarnya kerana terlalu banyak sampah yang ditinggalkan. Plastik, bekas makanan, sisa makanan tidak terhapus dan tisu basah boleh dilihat di mana-mana.

AKTIVITI mengutip sampah.
AKTIVITI mengutip sampah.

Lebih menyedihkan di kawasan gigi air kelihatan jelas dicemari dengan sisa makanan dan plastik yang terapung.

Misi ketiga-tiga entiti itu yang pertama ialah mengutip sampah di kawasan berkenaan dan mereka melakukan semampu mungkin kerana tapak perkhemahan itu terlalu luas yang mungkin mengambil masa berminggu untuk dibersihkan sepenuhnya.

Sekitar empat jam berada di Segara Anak, sampah yang dipungut dan diletakkan di dalam guni dibawa bersama ke kawasan perkhemahan kami untuk bermalam iaitu di Pelawangan yang menjadi destinasi bermalam terakhir sebelum ke puncak.

AKTIVITI membersihkan tapak perkhemahan di Segara Anak.
AKTIVITI membersihkan tapak perkhemahan di Segara Anak.

Bukan semua peserta pendaki ke puncak pada jam dua pagi keesokan hari itu kerana ada yang hanya mahu berada di kawasan perkhemahan untuk aktiviti gotong-royong bersama rakan membersihkan kawasan perkhemahan di Pelawangan.

Bagi mereka yang tiba di puncak Rinjani pada ketinggian 3,726 meter dari aras laut merasai begitu sukar pada sekitar satu kilometer terakhir kerana laluan berbatu kecil yang mudah tergelincir serta dingin. Bagaimanapun, semua peserta yang mendaki ke puncak berjaya menawannya secara berperingkat.

SEBAHAGIAN peserta tiba di puncak Rinjani.
SEBAHAGIAN peserta tiba di puncak Rinjani.

Pada jam 10 pagi semua peserta sudah berada di Pelawangan dan kali ini, sesi perkongsian diadakan oleh MEVOC bersama rakan porter dan penunjuk arah daripada Rudy berkenaan bantuan kecemasan yang boleh dilaksanakan sekiranya berlaku kemalangan kepada pendaki.

Bersandarkan pengalaman ahli MEVOC yang mengikuti kursus menyelamat secara formal di Malaysia pelbagai teknik ditunjukkan dan menjawab pelbagai soalan daripada kumpulan Rudy. Ternyata sesi perkongsian itu mendapat tumpuan daripada mereka.

DEMONSTRASI membawa mangsa yang tidak dapat berjalan oleh MEVOC.
DEMONSTRASI membawa mangsa yang tidak dapat berjalan oleh MEVOC.

Menuruni dari Pelawangan ke pintu keluar Senaru sememangnya mencabar kerana mereka bukan saja perlu membawa barangan peribadi malah memikul guni berisi sampah untuk di bawa ke kawasan perkampungan untuk dilupuskan dengan cara yang betul.

AHLI MEVOC menunjukkan cara kepada kru Rudy Trekker cara merawat.
AHLI MEVOC menunjukkan cara kepada kru Rudy Trekker cara merawat.

Melihat kepada aktiviti ini sudah semestinya memberi makna tersendiri kepada semua yang terbabit terutama menggambarkan kesatuan aktiviti mendaki dan beramal antara dua negara.

Jika sebelum ini, ramai pengembara Malaysia yang aktif dalam aktiviti kebajikan, kini sudah masanya pendaki mengikut sama ke arah aktiviti yang penuh bermakna itu.

MEVOC , UOH dan kru Rudy Trekker bergambar sebelum menuju pulang.
MEVOC , UOH dan kru Rudy Trekker bergambar sebelum menuju pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:13 PM