MERANGKAK dalam lumpur di bawah halangan tali antara cabaran utama.
MERANGKAK dalam lumpur di bawah halangan tali antara cabaran utama.
Zaitie Satibi

Merangkak di dalam lumpur di bawah halangan bertali, mengharungi sungai, mendaki cerun bukit dan mencari arah di dalam hutan pada waktu malam antara cabaran utama diharungi 191 pelajar dari 20 sekolah menengah sekitar Muar, Johor yang menyertai Perkhemahan Jati Diri Kor Kadet Polis Daerah Muar 2018 dan kursus kenaikan pangkat sarjan di Kem Bukit Batu Lebah, Selandar, Melaka.

Perkhemahan empat hari bermula 26 Februari lalu adalah program untuk mendedahkan anggota kadet kepada cabaran yang menguji ketahanan mental dan fizikal mereka menerusi aktiviti yang dikenal pasti sesuai bagi pertumbuhan positif diri pelajar.

Aktiviti disediakan sepanjang kem berlangsung juga menekankan pembinaan rohani dan jati diri, memantapkan emosi dan fizikal serta membentuk insan cemerlang.

Sepanjang perkhemahan berlangsung, semua anggota kadet menunjukkan kesungguhan dalam setiap aktiviti yang disusun atur. Keadaan itu jelas terbayang pada riak wajah masing-masing yang sentiasa bersemangat menjalani latihan walaupun kepenatan.

PESERTA tekun mendengar taklimat sebelum memulakan aktiviti.
PESERTA tekun mendengar taklimat sebelum memulakan aktiviti.

Aktiviti perkhemahan bermula dengan setiap anggota kadet dikehendaki melapor diri di kem berkenaan pada jam 12 tengah hari sebelum kerja membersihkan kawasan untuk mendirikan khemah masing-masing dijalankan.

Cabaran sebenar bermula pada hari kedua apabila setiap peserta dikehendaki berkawad, latihan berjalan lasak, merentas halangan, ronda pandu arah, ikhtiar hidup dan berjalan malam.

Tugasan yang dianggap paling memeritkan ialah latihan berjalan lasak apabila setiap anggota dikehendaki berjalan jauh merentasi hutan, kawasan berbukit dan sungai yang menuntut kesabaran tinggi.

JASMANI peserta diuji dengan semburan air atas jalan.
JASMANI peserta diuji dengan semburan air atas jalan.

Komandan kem, Mohamad Sofian Razali berkata, program dijalankan bukan untuk berseronok sebaliknya inti patinya melahirkan individu berkeyakinan, berdisiplin dan berperanan besar untuk bekerja sebagai satu pasukan.

Menurutnya, kem ini juga mengutamakan matlamat untuk menimbulkan kesedaran dan memberikan pendedahan kepada peserta supaya mampu bertindak terhadap suasana yang berbeza sama ada terhadap persekitaran ataupun pembelajaran.

PESERTA mengerah tenaga ketika mendaki cerun bukit.
PESERTA mengerah tenaga ketika mendaki cerun bukit.

“Program ini menjadi titik perubahan untuk mereka menjalani kehidupan sebagai pelajar dengan lebih berkesan dan seimbang, di samping dapat mengekalkan motivasi serta memantapkan jati diri daripada input yang diberikan.

“Pada masa sama, program itu mampu mempertingkatkan semangat pasukan yang mantap menerusi cara dan kaedah berinteraksi untuk berkongsi maklumat dan keputusan bagi membantu peserta menjalankan tugas dalam sempadan tanggungjawab yang ditetapkan.

“Kebanyakan aktiviti adalah kerja berpasukan membabitkan gabungan usaha, pengetahuan, kemahiran dan kebolehan yang dilakukan untuk menghasilkan prestasi kerja melebihi input,” katanya.

BERJALAN malam di dalam hutan meningkatkan kemahiran membaca kompas.
BERJALAN malam di dalam hutan meningkatkan kemahiran membaca kompas.

Perkhemahan diselaraskan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani, manakala majlis penutup perkhemahan itu disempurnakan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Kemanusiaan), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Muar, Nor Azman Ismail.

Sementara itu, peserta yang juga sarjan kadet polis daripada SMK Bandar Maharani, Abd Halim Abd Aziz, 17, amat teruja dan gembira dapat melengkapkan kursus berkenaan kerana ia secara tidak langsung membantu dirinya mempertingkatkan tahap kecergasan diri.

“Aktiviti yang disertai memang mencabar kerana ada kalanya saya hampir berputus asa dan terpaksa mencuba banyak kali sehingga meminta bantuan orang lain untuk melepasi sesuatu halangan.

NOR Azman menyempurnakan majlis penutup perkhemahan.
NOR Azman menyempurnakan majlis penutup perkhemahan.

“Pada mulanya memang nampak mudah bagi saya yang gemarkan aktiviti lasak tetapi ia menjadi semakin sukar kerana kita sudah keletihan dan kekurangan tenaga. Bagaimanapun, akhirnya saya berjaya menamatkan cabaran dan ditauliahkan sebagai sarjan.

“Selain mengumpul pengalaman, saya juga mempelajari kaedah ikhtiar hidup dan cara menjaga keselamatan diri dan orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 10:29 AM