PENGUNJUNG menghayati lukisan Edroger.
PENGUNJUNG menghayati lukisan Edroger.
KARYA Edroger bertajuk Ultraman Hayata Lawan Pewira Ubi Kayu.
KARYA Edroger bertajuk Ultraman Hayata Lawan Pewira Ubi Kayu.
EDROGER Rosili mahu pengunjung hayati maksud tersirat di sebalik lukisannya.
EDROGER Rosili mahu pengunjung hayati maksud tersirat di sebalik lukisannya.
HM Digital

Melihat karakter adiwira Ultraman bersama sayur-sayuran, buah-buahan tempatan dan tanaman kontan pada sembilan lukisan yang diketengahkan dalam pameran Jepun Attack Malaya di Galeri Hom Art Trans, Ampang, Selangor pastinya menimbulkan persoalan apakah kaitannya antara satu sama lain?

Lebih-lebih lagi ia membabitkan tumbuh-tumbuhan seperti jering, ubi kayu, jantung pisang, biji saga, buah salak, paku pakis dan rebung.

Itu antara kelainan ditonjolkan Edroger Rosili dalam pameran solo keduanya yang berlangsung dari 27 Januari hingga 10 Februari ini.

Genre realisme Edrogen pada kali ini menyerlahkan kreativitinya sebagai artis berpengalaman yang mampu memukau tumpuan penonton untuk lebih menghayati kerja seninya di samping cuba memahami maksud tersirat di sebalik lukisan berkenaan.

Karya daripada medium cat akrilik atas kanvas begitu halus seninya dan lukisan itu dihasilkan hanya menggunakan tangan tanpa barangan lain seperti pembaris.

Edroger berkata, lukisan berkenaan adalah fantasi sejarah Perang Dunia Kedua yang berlaku sekitar 1942 hingga 1945 yang menyaksikan Jepun menjajah Tanah Melayu.

Katanya, dia mendapat ilham bagi tajuk pameran itu daripada dialog Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapok yang menyebut ‘Jepun serang Tanah Melayu.’

“Peristiwa itu sangat menyedihkan dan kini tersimpan kemas dalam lipatan sejarah negara untuk dikenang.

“Watak Ultraman mewakili orang Jepun, sayur-sayuran, buah-buahan tempatan dan tanaman kontan itu pula merujuk kepada Tanah Melayu,” katanya kepada Nuansa.

Menurutnya, karya berkenaan ingin menunjukkan ‘hero’ dalam konflik antara Jepun dengan masyarakat di Tanah Melayu ketika itu.

“Ia turut memperlihatkan dilema dalam perang itu yang mana kedua-dua pihak, masing-masing merasakan mereka betul dan enggan mengalah.

“Bagaimanapun, semangat juang masyarakat pada waktu itu berjaya mempertahankan Tanah Melayu dan bebas daripada cengkaman penjajah,” katanya.

Katanya lagi, meskipun dulu bermusuhan dengan pihak Jepun tapi kini hubungan terjalin erat sebagai rakan ekonomi antara dua negara.

Menerusi lukisan itu dia mahu membawa penonton terutamanya generasi muda mengimbau kembali peristiwa hitam berkenaan selain mencintai sejarah.

Sementara itu, Pengurus Galeri Hom Art Trans, Ahmad Danial Ahmad Fuad berkata, galeri berkenaan sentiasa membantu artis untuk lebih menonjol menerusi penyediaan platform pameran.

“Orang ramai turut dipelawa untuk tidak melepaskan peluang menghayati karya menarik Edroger sebagai pembuka tirai pameran pertama galeri itu tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 12:39 PM