LAKUKAN lebih banyak aktiviti fizikal.
LAKUKAN lebih banyak aktiviti fizikal.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


KAJIAN menunjukkan bahawa usus yang sihat membantu memastikan nutrien penting diserap daripada makanan yang kita makan.

Usus sihat juga menjamin sistem imun yang sihat dan mencegah beberapa penyakit serius seperti kanser kolon.

Menurut Persatuan Dietetik Malaysia, adalah penting untuk memberi perhatian kepada sebarang tanda atau simptom berkaitan masalah usus seperti pendarahan, kesakitan dan sebarang kesukaran atau perubahan corak pembuangan air besar serta penurunan berat badan.

Dapatkan rawatan awal walaupun sesetengah tanda atau simptom boleh dirawat tanpa penggunaan ubat-ubatan atau rawatan.

Jangan abaikan masalah ini dan membiarkannya melarat.

Berikut enam langkah boleh dilakukan setiap hari untuk menjaga kesihatan usus:

1. Makan lebih serat. Anda perlu mengambil lebih banyak makanan kaya dengan serat.

Serat membantu melembutkan najis dan mencegah sembelit serta mengurangkan simptom beberapa gangguan penghadaman contohnya, buasir dan sindrom iritasi usus.

Untuk mengekalkan usus yang sihat, anda memerlukan serat daripada pelbagai jenis sumber makanan seperti roti mil penuh, beras perang, buah-buahan dan sayur-sayuran, kekacang serta oat.

Anda digalak meningkatkan pengambilan serat secara beransur-ansur untuk mencegah masalah kembung dan ketidakselesaan perut terutama jika anda tidak biasa dengan pengambilan makanan tinggi serat.

BANYAKKAN minum air.
BANYAKKAN minum air.

2. Banyak minum air

Air membantu melembutkan najis dan menggalakkan peredaran melalui sistem penghadaman anda.

Serat bertindak seperti span dan menyerap air kerana tanpa cecair, serat tidak boleh melakukan tugasnya dan akan menyebabkan sembelit.

Air juga memberi faedah kesihatan lain - tiada kalori! Secara purata, anda harus mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari (kira-kira dua liter) dan pada bila-bila masa apabila anda rasa dahaga.

HADKAN pengambilan kafein. (gambar hiasan)
HADKAN pengambilan kafein. (gambar hiasan)

3. Hadkan pengambilan kafein

Minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, kola dan minuman ringan boleh meningkatkan asid di dalam perut, seterusnya menyebabkan pedih ulu hati bagi sesetengah orang.

Jika anda tidak boleh berhenti minum kopi atau teh, hadkan pengambilan kepada satu atau dua cawan sehari.

4. Dapatkan pro dan prebiotik secukupnya

Terdapat ribuan bakteria yang hidup di dalam usus anda.

Sesetengahnya bakteria baik yang memberi faedah kepada kesihatan dan pada masa sama usus kita juga ada bakteria memudaratkan.

Mengekalkan keseimbangan bakteria baik dan bakteria tidak baik adalah penting.

Salah satu cara mudah dengan mengambil makanan yang kaya dengan probiotik (yang mengandungi bakteria baik) dan mengambil prebiotik (‘makanan’ untuk bakteria baik) secukupnya.

5. Makan diet berkhasiat yang rendah lemak

Elak makanan berlemak tinggi seperti makanan bergoreng, burger, sosej dan hidangan berminyak kerana ia melambatkan penghadaman dan boleh menyebabkan sakit perut serta pedih ulu hati.

Beberapa kajian juga menunjukkan pengambilan lemak yang tinggi juga boleh mempengaruhi komposisi bakteria usus.

6. Banyak bersenam

Hadkan aktiviti sedentari (tidak sihat) seperti bermain permainan komputer atau menonton televisyen.

Sebaliknya lakukan lebih banyak aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari atau menari.

Sebarang senaman yang meningkatkan kadar pernafasan dan denyutan jantung juga memberi faedah kepada penghadaman anda.

Ini merangsang otot usus, sekali gus menyebabkan makanan diedarkan dengan lebih cekap melalui usus anda.

7. Pupuk tabiat membuang air besar yang sihat

Pastikan anda memupuk tabiat membuang air besar yang baik seperti pergi ke tandas sekali sehari dan elakkan daripada menahan keinginan untuk membuang air besar.

Selain itu, dapatkan saringan kesihatan tetap untuk mengesan sebarang masalah seawal mungkin.

Mengabaikan kesihatan usus boleh mengakibatkan masalah serius.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:30 AM