Oleh Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Seorang pegawai sebuah agensi Kerajaan Negeri mengaku tidakbersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah seks daripada seorang wanita berusia 20-an di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

Tertuduh Heris Saad, 56, meminta dibicarakan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azhar Mokhtar.

Heris didakwa meminta rasuah dalam bentuk layanan seks daripada wanita berkenaan untuk mempercepatkan proses permohonan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Jalan Limbong Kapal, di sini, kira-kira jam 10.45 pagi pada 10 November lalu.

Bagi tuduhan kedua, Heris didakwa memperoleh rasuah dalam bentuk layanan seks daripada wanita sama bagi tujuan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Putra, di sini, kira-kira jam 2.45 petang pada 13 November lalu.

Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 16(a) A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 17 (a) akta sama dengan keduanya boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Firdaus Sekman@Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah mengarahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan menetapkan sebutan semula pada 2 Disember ini untuk melantik peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 3:02 PM