AHMAD Zahid   bergambar bersama peserta Pidato Piala Presiden UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 di PWTC.
AHMAD Zahid bergambar bersama peserta Pidato Piala Presiden UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 di PWTC.

Kuala Lumpur: “Sambutan yang diberikan oleh perwakilan pada majlis Taklimat Presiden tadi bukan tepukan biasa, tetapi secara spontan. Itu menunjukkan kesan positif terhadap ucapan dan taklimat Presiden (Datuk Seri Najib Razak),” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Najib menyentuh tiga perkara iaitu mengenai cabaran ekonomi, dana RM2.6 bilion dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kata beliau, fakta ekonomi yang perlu diperbetulkan ialah sejak mengambil alih kepemimpinan negara pada 2009, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada AS$202.6 bilion kepada AS$326 bilion pada 2014, manakala bursa saham pada 800 Indeks Harga Pengguna (IHP) CPI kepada 1700 IHP sekarang ini.

“FDI (Pelaburan Langsung Asing) daripada AS$5 bilion pada 2009 kepada AS$35.5 bilion setiap tahun sehingga tahun lalu dan hingga bulan Oktober tahun ini meningkat sebanyak RM27 bilion dan kita berada di kedudukan ke-18 daripada daya saing beberapa negara dan kita berada di kedudukan 20 ke atas,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Taklimat itu dihadiri perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2015 dari 191 bahagian di seluruh negara.

Mengenai dana RM2.6 bilion, Ahmad Zahid berkata, pihak yang memberikan dana berkenaan tidak memerlukan sebarang pulangan daripada sumbangan yang diberikan.

“Mana-mana parti politik perlukan dana sebagai alat dan bukan matlamat.

Beliau menyarankan supaya undang-undang mengenai dana politik dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Tetapi, parti pembangkang tidak mahu undang-undang ini dibentangkan,” kata beliau.

Menurutnya, penjelasan itu terpaksa diulang-ulang kerana terbukti ia tidak membabitkan wang yang diambil dari 1MDB, dana awam atau wang rakyat.

Berkaitan 1MDB pula, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Najib menyatakan bahawa program rasionalisasi sudah berjalan.

“Mengenai penjualan Edra Global Energy Berhad kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN) dengan harga RM17 bilion dan terpaksa menolak tawaran TNB yang RM2.3 bilion lebih rendah.

“Ini kerana bagi penerimaan TNB akan mengakibatkan timbul masalah seolah-olah kerajaan menyelamatkan 1MDB,” kata beliau.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, sesi taklimat berkenaan adalah pembuka tirai perhimpunan tahun ini.

Katanya, ucapan dasar oleh Presiden esok akan menyentuh perkara yang menentukan jatuh bangun bangsa, tanah air dan agama.

“Seperti yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri tadi, UMNO kalau tidak dijaga dengan baik akan berpecah kepada kumpulan serpihan, itu yang kita hendak elak dan ujian yang kita hadapi,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 9:13 AM