Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Jertih: Ahli UMNO tidak sewajarnya mempersoalkan dana atau bantuan yang diterima pemimpin tertinggi termasuk Presiden UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, sebelum ini, semua ahli parti UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN) sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau negeri tidak pernah mempersoalkan dari mana datangnya dana atau peruntukan yang diterima sama ada untuk pembangunan di kawasan masing-masing atau ketika pilihan raya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, ahli parti UMNO dan komponen BN tidak sewajarnya mempersoalkan dana RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Presiden parti yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Isu itu sudah disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan dana RM2.6 bilion adalah wang yang diderma dari negara Arab.

"Bukan perkara asing bagi negara Arab membantu negara Islam yang lain dan ini bukan kali pertama kita menerima dana dari negara terbabit.

"Ketika kita membina Universiti Islam Antabangsa pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kita juga menerima dana dari negara Arab untuk kita membina institusi Islam berkenaan.

"Sebenarnya, negara Islam sentiasa membantu negara Islam yang lain dan ia adalah perkara normal," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 2:29 PM