FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Mohd Anwar Patho Rahman; Syed Umar Ariff dan Rohaniza Idris


UMNO menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan mengaitkan parti itu menerima dana daripada 1MDB.

Presiden UMNO yang baharu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu percaya SPRM akan menjalankan siasatan secara telus berhubung perkara berkenaan.

“Saya menyerahkan kepada SPRM melakukan siasatan mengenainya,” katanya pada sidang media pertama beliau selepas memenangi kerusi Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada UMNO ada menerima sumbangan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Baru-baru ini, SPRM membekukan 900 akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1MDB dan antara akaun yang dibekukan itu adalah milik UMNO.

Ahmad Zahid turut mengesahkan beliau akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM esok bagi kes siasatan berhubung dana dalam yayasan milik keluarga beliau.

Katanya, dana yayasan itu adalah sumbangan peribadi beliau dan penderma yang ingin membuat kebajikan.

“Saya tidak tahu soalan apa yang ingin ditanya SPRM,” katanya apabila ditanya sama kehadirannya ke SPRM, esok ada berkaitan dengan kes 1MDB.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO sudah menghantar surat rayuan kepada SPRM supaya akaun parti terbabit tidak dibekukan kerana perlu menggunakannya untuk membayar gaji kakitangan selain kos urusan pentadbiran

“Kita harap ada pengecualian supaya pekerja parti tidak dizalimi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 5:30 PM